11 atlet taekwondo Sarawak sertai pemilihan kebangsaan

0

BINTULU: Kelab Taekwondo Smart WTF Bintulu menghantar 11 orang wakil bagi menyertai sesi pemilihan atlet pasukan kebangsaan di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil pada 9 Januari ini.

Atlet teakwondo Sarawak terbabit ialah Ahmady Radi selaku ketua pasukan, Staffano Atom, Stanley Law, Augustine Rudy, Scott Divers, Joseph Ungkah, Nur Ifa Husna, Marylyn Bungan Lian, Nurul Hidayah, Dayang Syamimi Sakinah dan Debbie Isabelle Padi Guianan.

Kontinjen ini turut disertai ketua jurulatih, Tan Check Joon selaku Pengerusi Teknikal, Persatuan Taekwondo Negeri Sarawak (WTF) dan Pui Jak Joon sekalu jurulatih poomsae Sarawak.

Naib Presiden Persatuan Taekwondo Negeri Sarawak (WTF) merangkap Pengerusi Kelab Taekwondo Smart WTF Bintulu, Raja Zahari Raja Yusof melahirkan rasa bangga dan terima kasih kepada Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing kerana banyak menyokong serta memberi sumbangan membangunkan sukan taekwondo di bahagian ini.

“Bantuan yang diberikan sedikit sebanyak membantu memajukan seni mempertahankan diri di bahagian ini dan mencungkil bakat baharu dalam sukan semakin digemari ramai ini khususnya kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah,” katanya.

Pasukan Poomsae Taekwondo Negeri Sarawak menjalani latihan intensif sepanjang tahun lalu dan kini bersedia untuk sesi pemilihan kebangasaan dan menyertai kejohanan Taekwondo WTF peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada tahun ini.