Penambahan kerusi berita baik untuk Bidayuh

0

Oleh Nick Fletcher //

Penambahan dua kerusi DUN bagi kawasan majoriti Bidayuh bawa lebih banyak pembangunan

KUCHING: Penambahan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi kawasan majoriti Bidayuh – Serembu dan Triboh seperti yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilihat akan membawa lebih banyak pembangunan kepada komuniti berkenaan.

Justeru, Temenggung Bidayuh Bahagian Kuching Austin Dimin Niyon menyifatkan langkah itu adalah berita baik untuk masyarakat Bidayuh.

“Dengan penambahan dua kerusi dalam DUN, saya percaya akan lebih banyak pembangunan dapat dijalankan di kawasan Bidayuh kerana dana tambahan projek kecil luar bandar (MRP) yang disalurkan menerusi ADUN baharu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum persempadanan yang disyorkan itu, terdapat enam kerusi majoriti Bidayuh iaitu Opar, Tasik Biru, Bengoh, Tarat, Tebedu dan Kedup.

Dengan penambahan dua kerusi Serembu dan Triboh, ia bermakna terdapat lapan kerusi majoriti Bidayuh.

Austin berharap kelapan-lapan kerusi itu akan diwakili oleh wakil rakyat yang mengutamakan rakyat.

“Sebagai ketua masyarakat, saya ingin melihat semua lapan kerusi dipegang oleh wakil rakyat yang dapat membawa lebih banyak pembangunan dan memberi MRP kepada kawasan yang mereka wakili,” katanya.

Timbalan Presiden Persatuan Asal Serembu Austin Minjap turut memuji penambahan dua kerusi berkenaan dan berkata ia adalah berita yang sangat dialu-alukan.

“Ini ternyata berita yang dialu-alukan dan kita (Bidayuh) menanti-nantikan usaha pembangunan yang lebih fokus, sistematik dan berterusan di dua kawasan tersebut untuk membantu masyarakat di sana,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bengoh.

Beliau menambah, penubuhan kerusi Serembu ternyata bonus bagi masyarakat Bidayuh keseluruhannya kerana ia bermakna penambahan perwakilan Bidayuh.

“Penduduk Serembu selama ini sangat menyokong usaha pembangunan oleh kerajaan dan syor persempadanan ini diharapkan dapat mengemaskinikan lebih banyak program pembangunan dan projek pada masa depan,” katanya.

Beliau juga berkata penamaan semula Mambong kepada kerusi Parlimen Puncak Borneo bukan isu kerana sempadan masih tidak berubah.

“Menamakan semula kerusi Parlimen bukan isu kerana sempadan masih sama dan mengambil kira hakikat bahawa sebarang perubahan dalam sempadan Parlimen tertakluk kepada peruntukan dan batasan yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Austin yang juga merupakan seorang ahli perniagaan dalam sektor minyak dan gas.

Demikian juga bagi Ahli Parlimen Mambong (Puncak Borneo) merangkap Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri James Dawos Mamit yang menganggap pindaan ke atas nama konstituensinya bukan isu.

“Saya mahu melihat persempadanan terlebih dahulu… untuk pindaan nama, itu tiada apa-apa dan ia tidak menjejas atau mengelirukan rakyat,” katanya ketika dihubungi.

SPR kelmarin mengeluarkan 11 kerusi baharu iaitu Batu Kitang, Stakan, Gedong, Kabong, Tellian, Selirik, Murum, Samalaju, Long Lama termasuk Serembu dan Triboh.