Serah kepada pucuk kepimpinan BN tetapkan kerusi baharu SUPP

0

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menyerahkan keputusan kepada pucuk kepimpinan Barisan Nasional (BN) untuk menetapkan kerusi baharu bagi parti itu sekiranya pembahagian 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) diluluskan oleh Parlimen.

Presidennya Senator Datuk Dr Sim Kui Hian berkata, bagaimanapun SUPP sentiasa mengadakan perbincangan kerana isu itu perlu dikaji dengan terperinci.

“Kami (SUPP) perlu duduk berbincang dengan empat komponen lain seperti yang dinyatakan Setiausaha Agung BN Negeri Datuk Dr Stephen Rundi mengenai pengesyoran 11 kerusi baharu.

“Kami berbincang dalam masa terdekat dan saya percaya 11 kerusi baharu itu adalah juga untuk 11 calon daripada parti komponen BN,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan sempena Kempen Kembali Ke Sekolah kepada pesakit di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, semalam.

Katanya adalah sukar untuk memberi komen mengenai perkara itu kerana ia baharu sahaja diumumkan dan belum dibentangkan di Parlimen.

“Perkara ini belum berakhir dan ia perlu dibentangkan di Parlimen sebelum keputusan dibuat.

“Namun bagi kami, kami menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi BN dalam perkara ini,” katanya.

Sementara itu kelmarin Dr Sim turut mengeluarkan kenyataan media bahawa SUPP perlu mengkaji butiran pengesyoran 11 kerusi baharu yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Namun begitu, SUPP pasti akan meletakkan cadangan supaya penambahan 11 kerusi baharu itu akan berlaku adil kepada kedua-dua pengundi bandar dan luar bandar.

“Mana-mana kerusi yang ditandakan daripada kerusi SUPP sama ada di bandar atau luar bandar, kita akan mempertahankannya untuk Barisan Nasional (BN),” katanya.

Sementara itu, SPR semalam telah mengesyorkan 11 kerusi DUN baharu menjadikan jumlah keseluruhan kepada 82 berbanding 71 sebelumnya.

Kerusi-kerusi baharu itu ialah N.13 Batu Kitang, N.17 Stakan, N.18 Serembu,  N.23 Triboh, N.26 Gedong, N.40 Kabong, N.57 Tellian, N.63 Selirik, N.66  Murum, N.70  Samalaju dan N.78 Long Lama.