Balai polis berisiko banjir dipindahkan ke lokasi baharu

0

MARAN: Semua balai polis termasuk ibu pejabat polis daerah (IPD) serta ibu pejabat polis kontinjen di seluruh negara yang berisiko dinaiki air akibat banjir akan dipindahkan ke lokasi baharu yang bebas daripada bencana itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu sedang diteliti bagi memastikan urusan pentadbiran dan perkhidmatan pasukan polis tidak terganggu ketika banjir.

“Kalau kita tengok apa yang berlaku di Kelantan ketika banjir tempoh hari, IPD Kuala Krai sebagai contoh, bukan sahaja kenderaan polis rosak, malah balai juga mengalami kerosakan secara keseluruhannya.

“Apabila keadaan ini berlaku, ia akan menyukarkan anggota kita menjalankan tugas dengan berkesan, tetapi secara keseluruhannya, semua anggota kita tetap bersemangat tinggi,” katanya kepada pemberita selepas melawat pejabat Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Chenor dekat sini semalam.

Beliau berkata walaupun ada anggota polis yang menjadi mangsa banjir, namun mereka tetap memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat yang berdepan dengan musibah itu.

Menurut Ahmad Zahid, beliau telah meminta Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan pihak pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya segera menilai jumlah kerugian dialami akibat banjir di beberapa negeri baru-baru ini.

Katanya untuk jangka pendek, operasi semua balai polis yang mengalami kerosakan teruk akan dilaksanakan di dalam kabin atau kontena yang diubah suai.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai laporan kehilangan senjata api dan rekod jenayah ketika banjir baru-baru ini, beliau berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai perkara itu. — Bernama