PBB tidak gentar pembangkang cadang pindahkan Market, Bazaar ke Satok

0

SANTUBONG: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Satok tidak gentar dengan cadangan pembangkang yang mahu daerah mengundi yang dikuasai mereka iaitu Market dan Bazaar dipindahkan ke konstituensi Satok.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, ia menunjukkan bahawa terdapat demokrasi berlaku.

Bagaimanapun kata Timbalan Presiden II PBB itu, ia terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membuat keputusan sama ada cadangan memasukkan dua daerah mengundi itu yang kini di bawah konstituensi Padungan ke Satok.

“Biarkan SPR membuat keputusan, kita tidak boleh mengulas lanjut kerana semuanya adalah di bawah bidang kuasa mereka.

“Apa mahu ditakutkan (sekiranya diluluskan) kerana kita negara demokrasi tetapi kita biarkan SPR membuat keputusan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kem GLOMUS 2015 anjuran Fakulti Muzik UiTM bersama UiTM Sarawak dengan kerjasama Global Network for Higher Music Education (GLOMUS) di Kampung Budaya Sarawakdi sini, semalam.

Ditanya berhubung pengundi dari dua daerah yang majoriti Cina sekiranya ia diluluskan SPR, Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan menegaskan, ia bukan satu perkara membimbangkan.

“Kalau anda mahu bertanding dalam pilihan raya maka anda perlu bertanding untuk semua komuniti… tidak perlu risau,” ujarnya.

Baru-baru ini Parti Tindakan Demokratik (DAP) mencadangkan agar dua daerah mengundi itu dimasukkan ke DUN Satok.

Pengerusi DAP Negeri Chong Chieng Jen berkata SPR Sarawak perlu mempertimbangkan cadangan itu kerana pemindahan kerusi itu akan dapat mengimbangi jumlah pengundi di Satok yang sekadar 13,580 orang berbanding Padungan 22,873 orang.

“Satok terletak di tengah-tengah bandar raya Kuching merupakan kerusi bandar sepenuhnya tetapi hanya mempunyai 13,580 pengundi berbanding Batu Lintang (26,640), Padungan (22,873) dan Pending 30,881.

“Justeru kami (DAP) mencadangkan agar daerah mengundi Market dan Bazaar di bawah Padungan dimasukkan ke dalam Satok bagi mengimbangi jumlah pengundi sekali gus menjadikan jumlah pengundi di kerusi itu kira-kira 18,590 orang manakala Padungan 17,863,” kata Chong.