Thursday, August 22

Haiwan pelik kejutkan pekerja ladang sawit

0

PELIK TAPI BENAR: Gambar haiwan pelik sempat dirakam selepas ia hampir menerkam pekerja ladang kelapa sawit di Jalan Bintangor-Sibu, semalam.

Oleh Watt Zacchaeus //

SIBU: Sekumpulan pekerja warganegara Indonesia terkejut melihat haiwan pelik muncul dalam khalayak mereka semasa bekerja di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Bintangor-Sibu, pagi semalam.

Menurut salah seorang pekerja, haiwan itu datang secara tiba-tiba semasa mereka sedang sibuk bekerja kira-kira jam 10 pagi.

Katanya, haiwan terbabit berlari meluru ke arah mereka seolah-olah mahu menerkam dengan kukunya yang tajam.

Khuatir dengan keselamatan mereka, jelasnya, salah seorang daripada mereka bertindak memukul haiwan itu hingga pengsan.

“Apabila haiwan itu sedar semula, kami menghalaunya kembali ke dalam hutan,” ujarnya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata, ia merupakan kali pertama mereka melihat haiwan pelik yang tidak diketahui spesiesnya itu.

Namun, beberapa pekerja ladang sawit terbabit berpendapat haiwan itu seakan-akan beruang yang sudah tua dan gugur bulunya.

Sehingga kini, jenis haiwan terbabit dan bagaimana ia masuk ke ladang berkenaan masih belum diketahui.