Lelaki maut dilanggar lari ketika melintas jalan

0

KUCHING: Seorang lelaki maut akibat cedera parah di kepala setelah dikatakan dirempuh kenderaan ketika melintas jalan di Batu 17 Jalan Kuching-Serian semalam.

Mangsa Bong Siat Pui, 48, berasal dari Siburan semasa kejadian berjalan seorang diri untuk menyeberang jalan berkenaan sehingga dia menjadi mangsa langgar lari sekitar jam 12 tengah hari.

Difahamkan, mangsa yang parah dan berlumuran darah itu ditinggalkan di tempat kejadian sebelum dibantu oleh beberapa pengguna jalan yang melalui kawasan tersebut.

“Pemandu yang tidak bertanggungjawab itu telah melarikan diri dari tempat kejadian dan mangsa dibantu oleh orang awam sementara menunggu bantuan daripada pihak polis dan anggota paramedik,” kata sumber.

Bagaimanapun, mangsa yang merupakan anak kelima daripada tujuh adik-beradik serta belum berkahwin itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga untuk upacara pengebumian.

Beberapa anggota polis dari cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan juga hadir di tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

Keluarga mangsa serta pihak polis memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berhubung kemalangan tersebut di mana-mana balai polis berhampiran.