Miri banjir lagi ekoran hujan lebat

0

KEMBALI BANJIR: Banjir di perumahan baharu, Eco Park Miri.

Beberapa kawasan rendah dinaiki air, banyak laluan utama sesak teruk

Oleh Steve Annuar //

MIRI: Bandar raya ini sekali lagi dilanda banjir selepas hujan lebat luar biasa sejak jam 2 petang semalam menyebabkan beberapa kawasan rendah dinaiki air.

SESAK: Keadaan banjir di Jalan Brighton Miri semalam.

Kembali terjejas ialah kawasan perumahan Eco Park di Jalan Miri Airport, salah satu kawasan yang kerap dilanda banjir kilat.

Kenaikan paras air melimpah mendadak ke kawasan tanah rendah dan beberapa jalan raya ke pusat bandar.

Turut dilaporkan mengalami banjir ialah beberapa kawasan rendah di kawasan Luak di sini.

Beberapa laluan utama pusat bandar iaitu Jalan Kingsway dan Jalan Brooke, hadapan Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan kawasan pasar lama Miri turut dinaiki air.

Turut terjejas dalam kejadian banjir semalam ialah Tokong Tua Pek Kong.

Banyak laluan utama juga dinaiki air menyebabkan kesesakan lalu lintas antaranya di Jalan Brighton menuju pantai Tanjong Lobang dan Jalan Miri-Pujut.

Air hujan turut melimpah di sekitar kawasan perumahan baharu di Jalan Cahaya Lopeng.

Hujan lebat pada jam 5 petang menyebabkan kebanyakan laluan masih sesak. Tiada laporan kecederaan dilaporkan setakat ini.

Residen Miri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Antonio Kahti Galis mengingatkan penduduk khasnya di kawasan kerap banjir supaya berjaga-jaga.

“Segera maklumkan kepada pihak berkuasa mengenai status terkini kenaikan paras air di kawasan masing-masing,” katanya.

Peringatan turut diberikan kepada penduduk yang mendiami kawasan kaki bukit khuatir berlakunya kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat berterusan.

“Penduduk harus bersedia untuk menyelamatkan diri dengan sentiasa berjaga-jaga pada setiap masa,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Antonio berkata, setakat ini empat keluarga terdiri daripada 20 orang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di dewan masyarakat Beluru Bakong.

Setakat ini belum ada laporan kenaikan paras air banjir di Niah.