Banjir di kawasan Skrang Tengah pulih

0

ENGKILILI: Keadaan banjir yang melanda kawasan Skrang Tengah dalam daerah kecil Engkilili Isnin lalu kini semakin pulih.

Sementara itu, seramai 41 mangsa banjir daripada 14 keluarga yang kebanyakannya dari Rumah Lembu, Entalun yang menginap sementara di Balai Raya Skim Skrang sudah balik ke rumah masing-masing.

Ahli Parlimen Lubok Antu Datuk William Nyalau Badak bersama Pegawai Daerah Lubok Antu Jack Aman Luat dan Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman Cassidy Morris melawat jambatan gantung rosak akibat air deras di Rumah Anggang, Nanga Mejong, Hulu Skrang.

Turut mengiringi Nyalau ialah Exco Wanita Pusat Parti Rakyat Sarawak (PRS) Runti Ason.

Nyalau menyatakan bahawa beliau telah memaklumkan agensi terbabit agar membina semula jambatan gantung menghubung penduduk Rumah Anggang Mejong dengan jalan raya utama yang rosak itu.

“Saya bertemu dengan Tuai Rumah Anggang untuk memberitahu akan membaiki semula jambatan gantung rosak akibat hentakan air deras dari Hulu Skrang,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Nyalau berkata penduduk Rumah Lembu, Entalun yang menetap sementara di Balai Raya Skim Skrang malam Isnin lalu telah balik semula ke rumah mereka pagi semalam.

“Keadaan di sini sudah beransur pulih dan berharap tidak berlaku banjir sekali lagi,” katanya.

Isnin lalu, limpahan air sungai Hulu Skrang berikutan hujan lebat tanpa henti pada malam Ahad lalu menyebabkan beberapa rumah panjang, sekolah dan jalan raya di kawasan Skrang Tengah dinaiki air.

Rumah Brown, Lubok Tabau, Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Tebat dan jalan raya masuk ke Murad dan jalan kampung Rumah Empading, Bunu dinaiki air sehingga tidak dapat dilalui.

Sementara itu, lebih parah murid-murid SK Nanga Tebat terpaksa menginap di rumah guru-guru yang terletak di atas bukit.

Berikutan itu murid-murid terbabit dikatakan tidak cukup bekalan makanan serta tilam.

Turut mengalami kerosakan akibat air deras dari sungai Hulu Skrang itu ialah jambatan gantung Nanga Mejong yang merupakan jalan utama masuk ke rumah panjang itu.

Begitu juga jalan raya utama berdekatan Rumah Christopher Pais, hanya sebahagian jalan itu dapat dilalui kereta pada hari kejadian.