Harwood sahut cabaran banteras rasuah dalam pembalakan

0

KUCHING: Harwood Timber Sdn Bhd (Harwood) mengadakan Seminar Integriti dan Pencegahan Rasuah sebagai salah satu inisiatif bagi menyahut cabaran kerajaan negeri untuk membanteras gejala rasuah dalam industri pembalakan.

Berlangsung selama dua hari mulai semalam, 2 Februari hingga 3 Februari di salah sebuah hotel di sini, tujuan utama penganjuran seminar tersebut adalah untuk memantapkan integriti pegawai dan semua kakitangan Harwood.

Pada masa yang sama, seminar itu juga diharap akan mengukuhkan lagi pengetahuan perundangan dan penguatkuasaan di kalangan warga Harwood khususnya yang melibatkan kesalahan rasuah.

Pada sidang media selepas perasmian seminar itu semalam, Pengerusi Eksekutif Harwood Timber Sdn Bhd Tan Sri Datuk Amar Bujang Mohd Nor yakin sasaran kerajaan untuk mengurangkan gejala rasuah dalam industri pembalakan mampu dicapai.

Malah beliau juga yakin agensi-agensi dan syarikat-syarikat pembalakan yang lain turut akan mengambil inisiatif yang sama untuk sama-sama membanteras gejala rasuah dalam industri pembalakan.

“Saya agak gembira dengan prestasi para pegawai dan kakitangan Harwood buat masa ini yang sentiasa mengamalkan budaya kerja yang cemerlang dan lebih penting bebas daripada amalan kerja yang tidak sihat,” katanya.

Terdahulu ketika berucap pada perasmian seminar itu, Bujang berkata dengan mempunyai kesedaran tentang bahayanya rasuah, maka kita sentiasa berwaspada dan dapat mengamal sikap telus, jujur dan amanah dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.

Sehubungan itu beliau menggesa semua pemain industri dan pihak yang berkepentingan memberi sokongan kepada Harwood dalam memperbaiki tahap kecekapan sistem penyampaian.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Sapuan Ahmad, Timbalan Pengurus Besar PUSAKA Hashim Bojet, Timbalan Pengurus Besar SFC Wong Ting Chung dan Penolong Pesuruhjaya SPRM Zulhairy Norman.