Hiba rumah runtuh di depan mata

0

Oleh Saleman Senin //

Penduduk Rumah Mupuh Baruh, Spak, Layar menahan sebak ketika ditemui di pusat pemindahan bencana semalam

MUSNAH: Beginilah keadaan Rumah Mupuh Baruh, Spak, Layar yang runtuh selepas berlaku hakisan tanah akibat hujan lebat.

BETONG: Sedih dan hiba menyaksikan sendiri rumah runtuh di depan mata menyebabkan penduduk Rumah Mupuh Baruh, Spak, Layar menahan sebak ketika ditemui di pusat pemindahan bencana di sini semalam.

Dalam kejadian runtuhan jam 8 pagi yang berlarutan dengan runtuhan lebih teruk selang dua jam kemudian menyaksikan tujuh daripada 22 pintu rumah panjang terbabit mengalami runtuhan teruk di bahagian hadapan dan dua buah turut rosak di bahagian dapur akibat hakisan tanah selepas hujan dan air bah melanda kawasan itu.

Menurut Tuai Rumah Anji Bala, kejadian tersebut membuatkan kediaman mereka musnah dan kemungkinan sukar dipulihkan dalam masa singkat.

“Rumah panjang kami yang dinaik taraf pada 1995 musnah sekelip mata disebabkan hakisan akibat hujan turun sejak kelmarin.

“Pada mulanya kami tidak menduga kejadian ini berlaku kerana kawasan rumah kami tidak terlibat dengan keadaan air pasang besar yang masuk ke dalam rumah kecuali jalan masuk yang ditenggelami air termasuk jambatan penghubung ke jalan raya utama.

“Air disedari mula naik sekitar jam 2 petang membuatkan kami berasa resah namun kedudukan rumah kami di atas bukit kami tidak khuatir.

“Apapun rumah kami yang diduduki seramai 142 orang mula mengalami perubahan dengan kesan hakisan pada jam 8 pagi.

“Arus deras dari hulu sungai memberi kesan teruk dan meranapkan struktur rumah kami,” katanya dalam nada sedih.

Dalam pada itu, beliau mengharapkan bantuan setimpal daripada kerajaan untuk membina semula kediaman mereka yang telah musnah.

“Kami masih belum memikirkan bagaimana jalan terbaik membina semula kediaman kami.

“Ini bergantung kepada keadaan struktur dan tapak rumah yang boleh digunakan selain menunggu pengesahan bomba sama ada kawasan ini masih selamat diduduki atau tidak.

“Jika perlu kami dipindahkan kerana struktur tapak berbahaya, kami bersedia dengan keadaan tersebut tetapi kami mengharapkan bantuan kerajaan menyediakan tempat untuk kami.

“Dan jika diberi pilihan bukan sekadar tapak, kami juga mahu kediaman yang telah siap dibina untuk memudahkan kami memulakan kehidupan baharu,” katanya.

Sementara itu, sehingga semalam seramai 71 daripada 18 keluarga dari rumah Mupuh Baruh dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Dewan Panglima Rentap Betong.

Sebahagian lagi menumpang di rumah keluarga mereka di rumah panjang berdekatan iaitu rumah Mupuh Atas.