Jalan menuju ke Pantai Tusan diancam tanah runtuh

0

PANTAI CANTIK MUNGKIN SEPI: Pantai Tusan di Miri mungkin tidak dapat dikunjungi lagi jika runtuhan jalannya tidak segera diperbaiki.

MIRI: Pantai Tusan yang merupakan salah satu kawasan perkelahan popular terutama pada hujung minggu, kini semakin terancam dan mungkin tidak dapat dilalui jika pihak berkuasa tempatan tidak segera memperbaiki beberapa bahagian jalan yang sudah runtuh.

Satu-satunya jalan menuju ke pantai itu terletak di antara Bekenu dan Lambir di Sibuti serta menghubungkannya dengan laluan utama, Jalan Pesisir Pantai Miri-Bintulu runtuh di dua kawasan berbeza serta boleh mengancam keselamatan orang awam.

“Saya amat berharap Majlis Daerah Subis (MDS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) segera melakukan sesuatu agar jalan itu dapat terus digunakan dengan selamat oleh pengunjung,” kata seorang pelawat, Abdul Latip ketika ditemui di sini semalam.

Dia terkejut dengan keadaan jalan yang runtuh itu dan tiada tanda-tanda akan diperbaiki.

Katanya, jika sekali lagi berlaku runtuhan tanah di laluan tersebut keadaan akan menjadi lebih buruk kerana pasti tidak dapat dilalui dan pantai terbabit juga tidak dapat dikunjungi melalui jalan berkenaan.

Latip mengakui Pantai Tusan merupakan pantai yang cukup cantik dan unik kerana memiliki pasir bersih dengan jurang serta sungai kecil.

Malah, pihak berkuasa tempatan boleh mempromosikan pantai itu dengan lebih giat dengan membina lebih banyak tempat letak kereta dan tempat duduk untuk pengunjung.

“Dengan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini dan hujan kerap turun dengan lebat, saya bimbang berlaku lagi runtuhan dan keadaan membahayakan orang awam jika pihak berkuasa tidak bertindak segera melakukan kerja pembaikan,” katanya.

Selain Pantai Tusan, kawasan Sibuti juga popular dengan pantai-pantai seperti Bungai dan Peliau, yang masing-masing mempunyai keindahan dan keunikan tersendiri serta menjadi tarikan bukan sahaja pengunjung tempatan dari sekitar Miri, Niah dan Bintulu bahkan dari Brunei Darussalam.

ANCAM KESELAMATAN: Antara bahagian jalan berkenaan yang runtuh dan boleh mengancam keselamatan pengguna jalan jika terus dibiarkan.