52 kanak-kanak PDK Sri Aman dirai dalam sambutan TBC

0

SRI AMAN: Kehadiran Tahun Baharu Cina (TBC) yang bakal dirai oleh masyarakat Cina pada hujung minggu depan memberi keceriaan kepada 52 kanak-kanak dari Pusat Dalam Komuniti (PDK) Sri Aman dekat sini.

Keceriaan itu bertambah dengan kehadiran 20 ahli Persatuan Soon Heng Simanggang diketuai oleh Pengerusinya Tay Ah Tee yang datang menyampaikan sumbangan hamper dan angpau kepada kanak-kanak di PDK berkenaan.

Tay ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan itu berkata, majlis penyampaian sumbangan kepada kanak-kanak PDK Sri Aman merupakan aktiviti kebajikan setiap tahun persatuan itu sejak beberapa tahun lalu.

“Sempena sambutan TBC ini, Persatuan Soon Heng Simanggang tampil sekali lagi membawa 50 hamper makanan dan angpau untuk diagih kepada kanak-kanak di sini.

“Diharap penyampaian sumbangan TBC ini akan memberi keceriaan kepada mereka yang memerlukan terutama kanak-kanak yang menuntut di PDK ini,” jelasnya.

Hadir sama pada majlis penyampaian sumbangan berkenaan, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman Awangku Mohd Najib, Ketua Biro Wanita Persatuan Soon Heng Tan Meng Sing, Penyelaras Program Penyampaian Sumbangan Tan Ing Siang, Pengerusi PDK Sri Aman Rohani Sahari, Pengelola PDK Sri Aman Sanny Law serta ahli persatuan yang lain.