Lapan bot berenjin diagih kepada penduduk, JPAM

0

KUCHING: Sebanyak lapan bot yang lengkap dengan enjin telah diagihkan kepada penduduk dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Bau bagi kemudahan sewaktu banjir.

Sumbangan bot itu diagihkan oleh Menteri Muda Pembangunan Komuniti merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Peter Nansian Ngusie.

Beliau menjelaskan, pengagihan bot itu bagi memudahkan kerja-kerja memindah dan membantu mangsa khususnya ketika banjir melanda di kawasan DUN itu.

“Sebelum ini kami telah mengagihkan tujuh bot masing-masing di Buso, Tondong, Bau Lama dan di sini (Jagoi) untuk kemudahan penduduk dan pasukan penyelamat sewaktu banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyerahan bot kepada JPAM Daerah Bau di Kampung Bagog, Jagoi, dekat sini semalam.

“Bot yang saya serahkan hari ini bukanlah untuk satu kampung sahaja tetapi untuk digunakan kampung lain di sekitar Jagoi ini,” jelasnya.

Nansian yang juga Menteri Muda Pembangunan Estet Perindustrian berkata, peralatan untuk menyelamat harus lengkap supaya kerja menyelamat mangsa banjir berjalan dengan lancar.

Justeru, beliau menggalakkan lebih ramai belia di kawasan DUN Tasik Biru menyertai badan sukarelawan seperti JPAM bagi meningkatkan lagi tenaga sukarelawan yang diperlukan khususnya ketika bencana.

Terdahulu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bau Mackinly Jores ketika berucap berkata, pihaknya amat mengalu-alukan penyertaan golongan belia sebagai sukarelawan JPAM.

“Sekiranya sukarelawan ini ramai dan terlatih maka setiap kampung akan mempunyai satu pasukan dapat menjadi pasukan hadapan ketika bencana berlaku sebelum datangnya pasukan penyelamat,” ujarnya.