Tiga pusat pemindahan banjir masih dibuka: MKN

0

KUCHING: Tiga pusat pemindahan banjir masih dibuka setakat jam 4 petang semalam iaitu dua di Betong dan satu di Kuching.

Menurut kenyataan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak, jumlah mangsa yang ditempatkan di ketiga-tiga pusat pemindahan tersebut adalah seramai 196 orang iaitu melibatkan 40 keluarga.

Dalam pada itu, Betong merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 151 orang daripada 28 keluarga.

Manakala jumlah mangsa di Kuching adalah 45 orang daripada 12 keluarga.

Dua pusat pemindahan yang dibuka di Betong ialah di Dewan Panglima Rentap bagi kawasan Rumah Anji, Mupoh Baruh (97 mangsa daripada 19 keluarga) dan Klinik Kesihatan Nanga Budu, Saratok bagi kawasan Rumah Ali Krangan (54 mangsa daripada sembilan keluarga).

Di Kuching pula, pusat pemindahan ialah di Balai Raya Kampung Poan yang menempatkan mangsa-mangsa dari Kampung Poan Sematan dengan 45 mangsa daripada 12 keluarga.

Selain itu, satu jalan terjejas dan ditutup disebabkan tanah runtuh iaitu melibatkan Rumah Mupoh Baruh, Layar di daerah Betong.

Sementara, ribut petir dan hujan sementara di beberapa tempat turut diramalkan di bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah dan Kapit

Manakala bahagian-bahagian lain diramal mengalami hujan sementara di satu dua tempat di seluruh negeri.