Fatwa larang makan ulat mulong sudah lama dibuat, kata Daud

0

KUCHING: Keputusan fatwa melarang umat Islam memakan ulat sagu (mulong) bukan baharu dikeluarkan sekarang, sebaliknya pernah diputuskan bekas Mufti Negeri Allahyarham Datuk Abdul Kadir Hassan 30 tahun lepas.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, ia seakan-akan baharu diputuskan apabila Mufti Negeri Datu Kipli Yassin diaju soalan oleh wartawan pada satu majlis baru-baru ini.

Menurutnya, kajian berhubung perkara itu dilakukan beberapa universiti dan Bahagian Kajian Pejabat Mufti Negeri.

Bagaimanapun, beliau tidak maklum bila kajian itu dilakukan dan perincian lain mengenai kajian itu.

“Pakar daripada beberapa universiti memutuskan ulat ini mengandungi najis dan mufti tidak membuat keputusan sembarangan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Daud menjelaskan, keputusan yang dibuat Mufti Negeri itu juga adalah mengambil kira pandangan Islam.

“Pada masa ini, mungkin orang tidak faham mengenai fatwa ini, tetapi pada masa akan datang orang mungkin akan faham,” ujarnya.

Kipli dipetik sebagai berkata, keputusan fatwa bagi melarang umat Islam memakannya telah lama dibuat.

“Apabila kita berpegang kepada hukum dan membuat kajian, ia telah ditetapkan sebagai jenis ulat dan dalam hukum fiqah, semua ulat tidak boleh dimakan kerana dianggap sebagai suatu yang jijik dalam Islam,” jelas Kipli.

Ulat mulong merupakan makanan eksotik masyarakat berbilang kaum di Sarawak termasuk Melanau Muslim.

Ia merupakan sejenis lava sebelum bertukar menjadi kumbang yang membiak dalam isi batang rumbia reput.