KKM tawar pengambilan sesi Mac

0

Oleh Connie Sylvia Mesa//

MIRI: Masyarakat setempat khususnya lepasan sekolah dipelawa menyertai dua kursus sijil sepenuh masa yang ditawar Kolej Komuniti Miri (KKM) bagi pengambilan sesi Mac pada 25 Februari ini hingga 13 Mac depan.

Dua program sijil diadakan untuk ambilan Mac ialah sijil reka bentuk dalaman dan sijil penyelenggaraan industri yang terhad kepada 30 pelajar sahaja.

Bagi sijil reka bentuk dalaman, syarat kelayakan minimanya ialah warganegara Malaysia dengan lulus SPM/SPM(V) dan satu kredit dalam mana-mana subjek SPM/SPM(V).

Manakala bagi minimum kelayakan untuk sijil penyelenggaraan industri pula, mereka yang layak ialah warganegara Malaysia dengan lulus SPM/SPM(V), lulus subjek Matematik dan satu kredit bagi mana-mana subjek SPM/SPM(V).

Bercakap dalam majlis mempromosi kedua-dua kursus itu di KKM semalam, Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin menggesa belia lepasan sekolah supaya merebut peluang bagi menyambung pengajian dalam bidang ditawarkan.

Katanya, program ditawarkan mampu memberi jaminan peluang kerjaya baik sama ada dalam bidang minyak dan gas ataupun bidang reka bentuk dalam di industri setempat.

“Rebut peluang ditawar kerana ia bukan sahaja menawar bidang kemahiran yang memberi peluang pekerjaan baik, malah yuran pengajian juga berpatutan dengan hanya RM200 bagi satu semester. Manakala bayaran pelbagai RM160 serta insurans RM60 untuk sekali pembayaran sahaja,” jelasnya.

Selain itu katanya, KKM turut menyedia bantuan kewangan RM4,800 kepada pelajar layak tertakluk kepada terma dan syarat.

Beliau yakin kedua-dua program itu amat baik dan memenuhi permintaan kemahiran memadangkan kerjasama kolaboratif industri dengan pihak KKM yang giat dilaksana oleh Kementerian Pendidikan.

“Justeru, saya menggesa belia supaya meningkat dan memperkembang potensi diri dalam membentuk individu berdaya saing dan konpeten pada masa akan datang,” katanya.

Pada majlis yang sama, Lee turut menyampaikan geran bernilai RM15,000 untuk kegunaan KKM.

Hadir sama ialah Pengarah KKM, Safie Abdul Rahman, Ketua Jabatan Pembelajaran Sepanjang Hayat KKM Chong Chiew Ching, Ketua Jabatan Kejuruteraan dan Kemahiran Amiruddin Mat, ketua-ketua kaum dan wakil kaunselor.

Justeru mereka yang berminat boleh menghubungi KKM di talian 085-653545 atau menghubungi terus Pejabat Pendaftaran KKM di alamat 5600, Jalan Permy Jaya Utama, 98000 Miri bagi keterangan lanjut.

KKM turut boleh dilayari di laman sesawang www.kkmiri.edu.my atau laman sosial Facebook dibawah nama www.facebook.com/kkmiri.