Sasaran kurangkan remaja hamil

0

Oleh Jessica Jawing//

Beberapa program dirancang, jawatankuasa turut sedia sistem sokongan

KUCHING: Jawatankuasa Pusat Sehenti Remaja Hamil menyasar untuk mengurangkan kadar 10 peratus remaja hamil di Sarawak melalui beberapa program yang telah dirancangkan.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, sebelum ini Sarawak merupakan negeri yang mencatatkan remaja hamil paling tinggi.

Namun, menurut beliau, statistik itu menyaksikan sedikit penurunan pada tahun lepas berbanding dengan tahun sebelumnya iaitu 3,396 kes pada tahun 2014 berbanding 4,078 (2013) atau daripada 9.91 peratus (2013) kepada 8.17 peratus (2014).

“Jawatankuasa ini bukan sahaja menyediakan sistem sokongan holistik tetapi merancang langkah dengan mengadakan program untuk mengurangkan kadar 10 peratus kes sedia ada.

“Sebagai permulaan kami menganjurkan program PEKERTI @ Remaja Modul Sarawak (Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial) dan kementerian sebagai fasilitator dengan menjemput pertubuhan bukan kerajaan berkaitan,” ujarnya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat program PEKERTI di Wisma Wanita di sini, semalam.

Fatimah berkata, program berkenaan diadakan pada 14 Februari 2015 di Bintulu yang menggunakan Modul Sarawak iaitu ‘I’m In Control,’ mengikut konteks serta keperluan negeri ini sendiri.

Fatimah berkata, program pada kali ini akan memfokuskan kepada pelajar berusia 16 tahun di sekolah sebelum diperluaskan kepada komuniti luar sekolah seperti ibu bapa, masyarakat dan sebagainya pada masa akan datang.

“Kita mulakan dengan Bintulu terlebih dahulu kemudian ke beberapa bahagian lain yang turut mencatatkan statistik remaja hamil yang tinggi seperti Kuching, Samarahan, Sibu, Miri, Limbang dan Kapit.

“Kita menggunakan modul yang sama iaitu ‘I’m In Control’ untuk mewujudkan kesedaran dan berkongsi pengalaman,” tegasnya.

Beliau berkata, program PEKERTI menggunakan pendekatan interaktif yang membabitkan pelajar dan antara tajuk yang dibincangkan Seksualiti-Nilai dan Tanggungjawab, Tanggungjawab Hubungan Sihat dan HIV/AIDS serta Penyakit Jangkitan Seksual: Tingkah Laku Yang Mengundang HIV.

Selain itu, turut didedahkan tajuk ‘Sudahkah Saya Bersedia,’ ‘Menghindari Situasi Berisiko Tinggi’ dan ‘Kemahiran Teknik Penolakan.’

Berhubung antara punca remaja hamil di Sarawak, Fatimah berkata, ia termasuk pengaruh media massa serta rakan sebaya, tingkah laku berisiko seawal 13 tahun, kurang pendidikan seksual dan hubungan kekeluargaan yang longgar.