192 petugas pantau keselamatan jalan raya

0

Oleh Hamimi Kassim //

Lapan pegawai, 184 anggota JPAM terlibat dalam Ops Bantu X 2015 sempena TBC di seluruh Sarawak

GANTI: Askandar membantu salah seorang penunggang motosikal menggantikan topi kaledarnya yang sudah lama dan tidak sesuai lagi digunakan.

KUCHING: Seramai 192 petugas terdiri daripada lapan pegawai dan 184 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) terlibat dalam ‘Ops Bantu X 2015’ sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) 2015 di seluruh negeri ini.

Timbalan Pengarah JPAM Negeri Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub berkata, operasi berkenaan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa pertama pada 16 hingga 18 Februari dan fasa kedua, 22 hingga 24 Februari 2015.

Manakala, setiap petugas pula dibahagikan kepada dua syif bermula jam 8 pagi hingga 4 petang dan 4 petang hingga 12.30 malam, jelasnya.

“Pelancancaran Ops Bantu Ke-10 sempena perayaan Tahun Baharu Cina ini merupakan salah satu program anjuran JPAM di seluruh Malaysia melibatkan 14 negeri dan 86 daerah.

“Operasi ini telah dilancarkan secara rasmi di peringkat ibu pejabat di Negeri Sembilan kelmarin (16 Februari) dan pada hari ini (semalam) kami lancarkan di peringkat Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang media sempena pelancaran operasi berkenaan di jalan raya berhampiran jejantas Siburan dekat sini, petang semalam.

Mengulas lanjut, operasi tersebut merupakan satu perkhidmatan yang diberikan jabatan untuk membantu pengguna jalan raya persekutuan dan negeri yang mengalami kecemasan atau kesusahan semasa perjalanan balik kampung dan pulang semula pada musim perayaan.

Bukan itu sahaja jelasnya, melalui Ops Bantu X 2015 ini juga JPAM bertindak sebagai Pasukan Tindakan Cepat (ERT) apabila berlaku kecemasan, membuat panggilan kecemasan dan rondaan dan ini pastinya dapat mengurangkan masa ke lokasi kejadian.

“Ops Bantu X 2015 meliputi lapan daerah dan zon rondaan terlibat adalah Kuching (simpang Kuching ke Mambong), Samarahan (Kota Samarahan ke pekan Serian), Sri Aman (Sri Aman ke Lachau), Betong (Betong ke simpang Sri Aman), Sarikei (Sarikei ke simpang Saratok), Sibu (Sibu ke Selangau), Bintulu (Bintulu ke pekan Tatau) dan Miri (Miri ke simpang Niah, Batu Niah ke Miri).

“Kawasan tersebut dipilih kerana dikenal pasti mempunyai statistik kemalangan kerap,” jelasnya sambil menambah, aset yang terlibat dalam operasi itu adalah lapan ambulans dan lapan pacuan empat roda.

Tambahnya, operasi selama enam hari itu turut mendapat kerjasama agensi keselamatan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Kesihatan Negeri.

Dalam perkembangan lain, Askandar memaklumkan bahawa JPAM turut mewujudkan Pusat Kawalan Operasi (PKO) Negeri yang berperanan melaporkan dan menyalurkan maklumat seluruh Ops Bantu X 2015, laporan serta kes berlaku kepada pusat yang terletak di Demak.

“Seterusnya, pusat ini akan melaporkan semua kes di negeri ini kepada PKO Pusat di ibu pejabat, Padang Tembak Kuala Lumpur,” terangnya.

Terdahulu, majlis pelancaran menyaksikan pelepasan tiga ambulans, dua pacuan empat roda dan dua motosikal yang terlibat dalam operasi di Kuching dan Samarahan.

Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Cawangan Pengurusan Angkatan Mejar (PA) Ismail Mahedin, Ketua Bencana Operasi Leftenan (PA) Madihi Habib, Pegawai Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Kuching  Leftenan (PA) Shaiful Azril Zainal dan PPAD Samarahan Leftenan (PA) Ahmad Shahfikri Darus.

Orang ramai yang menghadapi sebarang masalah bolehlah menghubungi PKO daerah berikut Kuching (082-252940), Samarahan (082-661017), Sri Aman (083-320973), Betong (083-471536), Sarikei (084-659958), Sibu (084-340455), Bintulu (086-318233) dan Miri (085-210471).

Lapan pegawai, 184 anggota JPAM terlibat dalam Ops Bantu X 2015 sempena Tahun Baharu Cina 2015 di Sarawak.