Saturday, May 28

Generasi muda Islam perlu belajar pengurusan jenazah

0

SADONG JAYA: Elak bergantung kepada generasi lama dalam melaksanakan pengurusan jenazah sebaliknya generasi muda Islam perlu mempelajari tanggungjawab fardu kifayah tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo berkata, ia adalah sesuatu yang penting bagi umat Islam agar generasi muda bersedia dan tidak menimbulkan masalah pada masa akan datang.

Malah, menurutnya, sekiranya tanggungjawab itu tidak diwarisi kepada generasi muda, dibimbangi masyarakat di sesebuah kampung atau taman perumahan terpaksa mendapatkan khidmat orang luar untuk menguruskan jenazah.

“Oleh itu, generasi muda kita seharusnya digalak untuk mempelajari cara-cara pengurusan jenazah agar ada kesinambungan dalam melaksanakan tanggungjawab ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Fardu Kifayah Pengurusan Jenazah anjuran Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sadong Jaya di sini, baru-baru ini.

Kursus tersebut disertai kira-kira 140 peserta yang terdiri daripada penduduk sekitar Sadong Jaya.

Aidel menjelaskan, penglibatan golongan muda dalam cara-cara menguruskan jenazah amat perlu untuk memastikan mereka didedahkan dan mendapat ilmu mengenai kepentingan pengurusan jenazah.

“Ilmu dan cara pengurusan jenazah bukan sahaja penting bagi umat Islam, malah ia merupakan fardu kifayah sekiranya berlaku kematian,” ujarnya.

Menurutnya lagi, mungkin masih ramai dalam kalangan umat Islam tidak mengetahui teknik mengurus jenazah secara mendalam termasuk cara mandi, mengkafan dan solat jenazah dengan betul.

“Kursus seperti ini adalah untuk memberi kesedaran dan keinsafan kepada peserta selaku generasi pelapis tentang pentingnya mempelajari pengurusan jenazah demi memenuhi tuntutan fardu kifayah dalam kehidupan bermasyarakat,” jelasnya.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri.