Thursday, January 20

Hadiri ceramah agama Ustaz Kazim Elias di Stadium Perpaduan malam ini

0

KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Kuching mengajak orang ramai untuk menghadiri ceramah agama perdana bertajuk ‘Program Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias Bersama Pemuda PBB Zon Kuching’ yang diadakan malam ini (Ahad) di Stadium Perpaduan Negeri, Petra Jaya.

Menurut kenyataan pengerusi jawatankuasa penganjur program itu merangkap exco Pergerakan Pemuda PBB Negeri Fazzrudin Abdul Rahman, ceramah tersebut bertemakan ‘Rasulullah Idola Umat’ bakal disampaikan oleh Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias yang akan bermula jam 8 malam.

“Program tersebut dijangka akan memberi impak kepada masyarakat setempat khususnya golongan belia serta bakal menarik minat ribuan penonton untuk mendengar ceramah daripada salah seorang ikon agama negara terkenal.

“Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memupuk minat masyarakat setempat dalam menghadiri program-program agama serta mampu meningkatkan penglibatan golongan muda dalam penganjuran aktiviti bersifat ilmiah dan kerohanian,” ujar Fazzrudin selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penganjur bagi persediaan yang terakhir baru-baru ini.

Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Ketua Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Pantai Damai dan Satok Iskandar Sharkawi merangkap timbalan pengerusi penganjur program.

Ceramah perdana anjuran Armada Pemuda PBB Zon Kuching itu merupakan usaha untuk menyebarkan ilmu agama dalam bentuk yang lebih kontemporari yang turut disokong oleh Akademi Binaan Malaysia (ABM), Majelis Dakwah Suraj, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Biro Tatanegara (BTN) serta Perbadanan Stadium Negeri Sarawak.

Sementara itu Iskandar memberitahu, Ustaz Kazim terkenal melalui ceramah agamanya yang menggunakan pendekatan bersahaja dan mudah menarik perhatian penonton untuk menghayati ilmu yang disampaikan oleh beliau.

“Orang ramai dinasihatkan untuk mematuhi arahan pihak penganjur bagi menjaga keselamatan diri serta harta benda dan kenderaan masing-masing ketika menghadiri program ini esok (hari ini) kerana kawasan stadium dijangka akan dipenuhi oleh orang ramai seawal jam 6 petang yang ingin mendengar serta menyaksikan ceramah daripada Ustaz Kazim.

“Untuk kemudahan orang ramai, kami akan turut menyediakan ruang solat serta tempat mengambil air sembahyang di samping solat berjemaah Maghrib dan Isyak yang akan dipimpin oleh Ustaz Muhammad Syafiq Sabri,” jelas Iskandar.