Selamatkan belia daripada gejala ekstremis sosial, kata Nancy

0

BANTULAH BELIA: Nancy (duduk tengah) merakam kenangan bersama peserta dan jawatan kuasa penganjur Kursus Fardhu Kifayah Pengurusan Jenazah.

NGO, parti politik serta agensi kerajaan perlu gembleng tenaga cegah perkara ini

Oleh Rusnan Mustafa //

SADONG JAYA: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik serta agensi kerajaan perlu menggembleng tenaga untuk menyelamatkan golongan belia daripada terjerumus dalam gejala ekstremis sosial.

Perkara itu ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri yang memberitahu, jika tidak dicegah ia boleh menyebabkan kemusnahan kepada negara kerana pemimpin masa depan yang diharapkan tidak mampu membawa kemajuan kepada negara dan rakyatnya.

Tambahnya, kemusnahan kepada negara akan terjadi sekiranya golongan belia terikut-ikut dengan perjuangan yang mempunyai matlamat yang sia-sia.

“Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab kita semua tidak kira sama ada daripada pihak NGO, parti politik serta agensi kerajaan untuk menggembleng tenaga memastikan golongan belia tidak mudah terjebak dengan gejala ekstremis sosial ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Fardhu Kifayah Pengurusan Jenazah anjuran bersama AJK PBB Cawangan Samarahan dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Samarahan di sini kelmarin.

“Sehubungan itu, saya yakin aktiviti sukarela berorientasikan belia di semua peringkat dapat menggalakkan keharmonian, mengurangkan gejala sosial dan mengukuhkan rasa cinta terhadap negara,” katanya.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata, masyarakat harus sedar bahawa pada masa kini negara sedang berdepan dengan ancaman ekstremis yang datang dalam pelbagai bentuk gagasan dan ideologi.

“Ekstremisme bermaksud pelampau di mana pada prinsipnya, ia bukanlah ajaran Islam kerana Islam itu sendiri mengajar kedamaian dan kesejahteraan.

“Banyak faktor yang menyebabkan kepelampauan terjadi sama ada kefahaman ideologi, politik malah salah faham terhadap agama yang turut menjadi penyumbang kepada tercetusnya ekstremisme yang boleh menyebabkan manusia hilang rasional diri lalu mengundang permusuhan dan rasa kebencian melampau,” jelasnya.

Beliau berkata belia merupakan golongan yang paling mudah terjebak dengan perjuangan palsu itu kerana sudah menjadi sifat semula jadi golongan itu untuk ingin terlibat dalam perjuangan dan ia bukanlah perkara baharu.

“Kita sedia maklum merekalah yang paling mudah tertarik dengan apa jua bentuk perjuangan atas nama jihad jika diberi peluang, tetapi jika didedahkan dengan bentuk perjuangan yang salah dan jauh terpesong, ia akan mengakibatkan keruntuhan dalam masyarakat.

“Inilah yang berlaku pada masa ini di mana kita berdepan dengan ancaman perjuangan militan Negara Islam atau IS yang menggunakan nama jihad untuk merekrut ahli-ahli baharu menerusi media sosial.

“Justeru, saya berharap agar semoga kita terus menjadi rakyat yang sentiasa berpegang kepada pendirian wasatiyyah atau kesederhanaan, berimbang dan kecemerlangan,” ujarnya.