Barisan terkuat layan Terengganu

0

Oleh Harry Ilias//

GIGIH: Barisan pertahanan Sarawak meningkatkan latihan sebagai persiapan menentang Terengganu petang ini.

KUCHING: Status Terengganu selaku pendahulu liga kempen Piala Presiden 2015 tidak menggentarkan Sarawak apabila kedua-dua pasukan bakal bertembung di Stadium Negeri di sini petang ini.

Pengendalinya, Johnny Dominicus berkata Sarawak tetap berkelebihan kerana bermain di laman sendiri dan akan menggunakan sokongan padu penyokong set ia sebagai azimat untuk menjinakkan skuad muda Sang Penyu itu.

“ Peluang untuk menang tetap walaupun kita tahu Terengganu sedang mendahului liga ketika ini,” katanya di sini semalam.

Bagi Johnny, keupayaan kedua-dua pasukan adalah seimbang dan masing-masing mempunyai kelebihan yang tersendiri.

“Kita sudah bersedia sepenuhnya dan semua pemain akan memberikan yang terbaik untuk memastikan Sarawak mengutip mata penuh di tempat sendiri,” tambahnya.

Menurut Johnny, beliau akan menurunkan barisan terkuat petang ini selepas beberapa pemain utama pulih daripada kecederaan.

“Kebanyakan pemain utama kita bebas daripada kecederaan hanya kapten Badrul Azhar Adenan yang masih direhatkan,” katanya.

Sarawak masih memburu kemenangan pertama untuk memperbaiki kedudukan mereka dalam liga yang ketika ini menghuni tangga kesembilan Kumpulan A.

Mereka sekadar mengutip satu mata hasil seri sekali dan tewas sekali dalam dua perlawanan sebelum ini.