Orang ramai dipelawa meriahkan perasmian UTC

0

Oleh Jessica Jawing//

 

DITUTUP: Beberapa jalan yang menuju ke pentas utama berdekatan UTC ditutup bagi memberi laluan untuk persiapan program.

KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bakal merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sarawak di sini pada Khamis, 26 Februari ini bermula jam 8.30 malam.

Pengarah Unit Pemantauan Pelaksanaan Negeri (SIMU), Pejabat Ketua Menteri Bakrie Zaini berkata, program yang turut disertai isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor bakal diiringi Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem serta isteri Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu.

“Kita turut mengalu-alukan orang ramai hadir sama kerana banyak acara atau program yang diadakan sempena majlis perasmian termasuk cabutan bertuah menyaksikan beberapa hadiah utama seperti motosikal sebagai ganjaran.

“Selain itu, terdapat juga aktiviti hiburan dengan artis jemputan termasuk Dayang Nurfaizah, Bob AF, Rickie Andrewson, Joseph N dan Kumpulan Zero,” katanya pada sidang media berhubung program di UTC di sini, semalam.

Bakrie berkata, selain majlis perasmian Perdana Menteri diiringi Ketua Menteri dan tetamu kehormat lain akan mengadakan ‘Walkabout’ UTC sebelum berangkat meninggalkan majlis.

Beliau berkata, majlis itu dijangka tamat pada kira-kira hampir jam 10 malam.

Menurutnya lagi, pihaknya kini dalam proses persiapan majlis perasmian yang terpaksa menggunakan jalan raya sebagai venue.

Justeru, katanya, ada di antara jalan yang digunakan terpaksa ditutup bermula Isnin lepas sehingga Jumaat ini dan berharap pengguna bersabar.

Menurut beliau, pihaknya terpaksa menggunakan jalan kerana tidak ada pilihan memandangkan bangunan berkenaan tidak mempunyai ruang mencukupi.

Sementara itu, Pegawai Kewangan Persekutuan, Perbendaharaan Malaysia Sarawak Datu Jabidah Monseri berkata, selain majlis perasmian beberapa acara sampingan akan diadakan.

“Antaranya program 1Malaysia Entreprenuers (1MeT) yang menyasarkan penyertaan golongan belia.

“Di sini kita menekankan tentang Kedai Kain Rakyat 1Malaysia kerana ia masih tidak digunakan sepenuhnya,” kata Jabidah.