Fasiliti Stadium Negeri amat ‘menyedihkan’

0

UNDANG PENYAKIT: Keadaan sampah yang menjijikkan di luar stadium.

KUCHING: Perbadanan Stadium Negeri Sarawak (PSNS) digesa agar meningkatkan fasiliti di Stadium Negeri yang berada dalam keadaan cukup menyedihkan.

Gesaan itu disuarakan oleh salah seorang penyokong tegar kelab penyokong bola sepak Sarawak yang semakin kecewa dengan keadaan fasiliti di Stadium Negeri.

“Sebagai contoh, tandas lelaki dan wanita di Zon A tidak berair dan sangat kotor. Dahlah tu, kebanyakan kunci pintu tandas juga telah rosak. Ini amat menyukarkan penyokong terutama kaum wanita yang turut membawa kanak-kanak ke stadium.

“Kadang-kadang kami terpaksa berkongsi tandas wanita kerana keadaan tandas lelaki juga amat menyedihkan. Pemantauan kami mendapati fasiliti di zon lain juga dalam keadaan yang sama,” ujarnya.

Tambahnya, penonton terpaksa membuang air kecil di merata-rata tempat akibat terpaksa disebabkan keadaan tandas yang tidak boleh digunakan.

Ini menyebabkan kawasan di sekitar stadium berbau busuk dan tidak menyenangkan.

Menurutnya, PSNS harus sedar keadaan fasiliti yang menyedihkan itu akan mencemar imej Sarawak kerana orang luar turut datang ke stadium setiap kali perlawanan diadakan.

“Selain itu, kami mendapati masih ramai penyokong yang memanjat pagar untuk memasuki stadium demi untuk menonton perlawanan secara percuma.

“Ini tidak adil bagi penonton yang membeli tiket kerana tidak mempunyai tempat duduk yang selesa. Tambahan pula, tindakan segelintir penyokong ini hanya akan membahayakan keselamatan mereka sendiri,” tambahnya.

Menurutnya, PSNS juga harus meningkatkan kawalan di luar stadium di mana masalah ulat parkir masih berleluasa.

“Rakan saya sendiri pernah diugut oleh ulat parkir sebanyak RM2 bagi mengelak tayar motosikalnya dibocorkan,” keluhnya kecewa.

Katanya, jika masalah tersebut masih berterusan, ia pasti akan mengelak penyokong untuk datang ke stadium kerana mereka berasa terancam oleh sikap mereka yang tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, beliau berharap PSNS akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselesaan dan keselamatan penonton yang datang ke stadium sentiasa terjamin.

UNDANG PENYAKIT: Sinki tandas kotor kerana pili tidak berair.