120 batang balak, 5 jengkaut dirampas

0

SITA: Anggota Pasukan Polis Marin Wilayah 5 menunjukkan antara jengkaut yang disita daripada kawasan pembalakan itu.

SEMATAN: Kegiatan pembalakan haram terus dibanteras dengan sebuah lagi kawasan yang dipercayai melakukan pembalakan haram di sini diserbu dan 120 batang balak bernilai mencecah RM66,000 dirampas.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 5 ACP Kalai Chelvan Nadarajan berkata, serbuan yang turut disertai oleh pegawai Pejabat Daerah Sematan dilakukan di Sungai Tian Sebat di sini sekitar jam 10 pagi semalam.

Menurutnya, dalam serbuan itu, pihaknya turut menyita lima buah jengkaut dianggarkan bernilai RM950,000 menjadikan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM1 juta.

“Bertindak atas maklumat awam serta dengan kerjasama pegawai Pejabat Daerah Sematan dan penduduk kampung, kita telah membuat satu serbuan ke atas sebuah kawasan pembalakan di Sungai Tian Sebat.

“Dalam serbuan tersebut, kita mendapati kira-kira 120 batang kayu balak pelbagai jenis dan saiz tidak mempunyai tanda dan cop daripada Jabatan Hutan Sarawak.

“Justeru, kita telah merampas kesemua kayu balak tersebut bersama lima buah jengkaut yang dianggarkan mencecah RM1 juta dan diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau menambah operasi tersebut diketuai oleh ASP Pangji Eseng dan kes disiasat di bawah Seksyen 85(1) Ordinan Perhutanan Sarawak kerana disyaki memperolehi kayu balak secara haram.

Difahamkan, empat lelaki warga tempatan bersama lima warga asing termasuk seorang wanita dan dua kanak-kanak ditahan dalam serbuan tersebut untuk membantu siasatan.

“Pemeriksaan terhadap lima warga asing mendapati mereka tiada dokumen pengenalan diri serta tiada permit kerja yang sah dan mereka telah ditahan di bawah Akta Imigresen 1059/1963 pindaan 2002,” jelas Kalai.