Banyak batang kayu buruk sukarkan tugas pemadaman

0

Oleh Rosemaria Buma dan Mohd Norhadie Sahari //

Usaha padam kebakaran di ILP Miri guna helikopter ledak air dari udara, 82 anggota di darat

MENCABAR: Anggota bomba berusaha memadam kebakaran belukar berhampiran ILP Miri semalam.

MIRI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Miri terpaksa mengguna kaedah ledakan air atau ‘water bombing’ untuk memadam kebakaran belukar dan tanah gambut membabitkan kawasan seluas lebih 50 ekar di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di sini.

Ketua Zon 6, Penguasa Kanan Bomba 1 (PgKB1) Law Poh Kiong berkata, dalam operasi masuk hari kedua semalam, bomba terpaksa menggunakan kaedah itu untuk memadam kebakaran sehingga ke bahagian tengah belukar.

“Kawasan terlibat bukan hanya di bahagian pinggir, namun jauh ke tengah melibatkan tanah gambut menyebabkan anggota terlibat sukar sampai ke situ.

“Justeru hari ini (semalam), kami menggunakan kaedah ‘water bombing’ dengan sebuah helikopter milik JBPM,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, semalam.

Menurut Law, operasi memadam kebakaran bermula seawal jam 8.30 pagi semalam melibatkan 82 orang anggota diketuai oleh Penolong Penguasa Bomba Maureen Sim.

Manakala operasi menggunakan kaedah itu bermula jam 9.30 pagi dan ia dilakukan sebanyak 16 kali.

Katanya, cabaran utama operasi ialah faktor keluasan kerana ia melibatkan kawasan yang sangat luas.

“Buat masa sekarang, keadaan agak terkawal cuma asap masih tebal kerana tiupan angin. Malah terdapat banyak batang kayu buruk menyebabkan api sukar dipadam.

“Kerja memadam mengambil masa agak lama kerana kita memastikan air sampai ke permukaan tanah. Apabila kawasan itu benar-benar basah, api dapat dipadam sepenunhya,” jelasnya.

LEBIH BERKESAN: Pihak bomba menggunakan kaedah ‘water bombing’ untuk memadam kebakaran belukar berhampiran ILP Miri.

Tinjauan Utusan Borneo ke lokasi kebakaran semalam mendapati pihak bomba tidak berdepan masalah bekalan air kerana terdapat longkang besar di kawasan berhampiran untuk mereka mengepam air.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berkata, kebakaran di kawasan itu dipercayai akibat perbuatan pemburu.

Menurut beliau, kebakaran itu turut menjejaskan penghuni Kompleks Kebajikan Hamidah kerana terperangkap dalam asap tebal.

Katanya, pemantauan yang dilakukan oleh pasukan keselamatan menemui kesan tapak pembakaran ditinggal pemburu.

“Pemburu dipercayai memasuki kawasan tanah milik pemaju pada waktu malam. Siasatan awal mendapati terdapat kesan pembakaran hingga menyebabkan kawasan itu terbakar,” katanya semasa melawat menara peninjau Permyjaya di Kuala Baram, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri Senadin itu juga berkata, setakat ini kerajaan belum bercadang memindahkan penghuni di Kompleks Kebajikan Hamidah kerana sekarang adalah cuti sekolah.

“Namun anggota keselamatan diletakkan di situ sebagai langkah berjaga-jaga, bimbang api merebak,” katanya.

Malah, katanya, topeng muka telah diberi kepada penghuni di kompleks itu dan tindakan pemindahan hanya akan dilakukan jika keadaan mendesak.

Lee yang juga Menteri Muda Sukan menjelaskan Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengesan 11 tompok panas di Miri dan agensi-agensi berkaitan ketika ini sedang menyiasat puncanya.

“Kerajaan memberi amaran tegas kepada pekebun kecil supaya tidak melakukan pembakaran terbuka semasa musim kering dan jika ditangkap, mereka boleh dikena denda,” katanya.

Lee memberitahu, denda bagi kesalahan melakukan pembakaran terbuka oleh individu atau syarikat ialah RM500,000 dan penjara sehingga lima tahun.

“JAS mengeluarkan sembilan notis peringatan kepada syarikat pemaju bagi melakukan pemadaman. Kerajaan tidak mengeluarkan sebarang permit untuk pembakaran terbuka ketika ini,” tegasnya.

Lee kecewa kerana kejadian pembakaran hutan belukar berlaku di Miri hampir setiap tahun dan ia berpunca daripada perbuatan manusia, bukannya kejadian semula jadi.