Orang ramai dipelawa sertai kejohanan Tamiya 4WD

0

KUCHING: Pencinta sukan mini Tamiya 4WD dipelawa menunjuk kemahiran mengawal alat kawalan jauh Tamiya sempena Kejohanan Crown Square (CS) 2015 hujung minggu hadapan dengan trek sepanjang 200 meter.

Mengambil tempat di Lobi Crown Towers, kejohanan itu dikendali serta dianjur kumpulan hobi Tamiya One F7 selain disokong oleh Hobby Mart dan Panasonic.

Selain itu, kejohanan juga memberi fokus kepada format Perlumbaan Kelajuan Semi Tamiya Mini 4WD selain menarik penglibatan sesiapa sahaja penggemar sukan ini sekitar bandar raya ini.

Setiap peserta terlibat boleh membawa dua kereta mini Tamiya semasa perlumbaan dan 32 kereta mini Tamiya mencatat masa kelajuan paling terpantas, layak menyertai pusingan akhir pada Ahad (29 Mac) jam 3 petang.

Setiap penyertaan untuk sebuah kereta mini Tamiya RM30 dengan diikuti enam cubaan di atas trek perlumbaan.

Selain itu, peserta juga boleh menambah semula cubaan dengan bayaran RM10 bagi setiap lima kali cubaan.

Sesiapa berminat boleh datang ke lokasi perlumbaan pada 28 Mac (Sabtu) bermula jam 10 pagi dan latihan percuma dilakukan sebaik sahaja selepas pendaftaran sebelum perlumbaan saringan ujian kepantasan masa bermula pada jam 1 petang.

Ujian kepantasan masa akan dilanjut pada Ahad bermula jam 10 pagi pada 28 Mac dan sebarang penambahan semula ditutup pada jam 12 tengah hari sebelum pusingan akhir mengambil tempat pada jam 3 petang.

Juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM800 manakala tempat kedua menerima RM500 dan tempat ketiga RM300.

Bagi pemenang di tempat keempat, anda layak membawa pulang hadiah RM100 selain peserta ‘Top Qualifier’ akan membawa pulang RM300. Semua pemenang juga akan menerima trofi.

Pemenang tempat kelima dan keenam tidak pulang hampa kerana juga akan diberikan pingat.

Menurut pemilik Hobby Mart Ken Teo, perlumbaan seumpama itu kebiasaannya akan menarik sehingga 100 peserta.

“Kami menjangka seramai 60 peserta akan menyertai Kejohanan Crown Square (CS) 2015 pada kali ini,” katanya.

Untuk pertanyaan lanjur, hubungi Teo di talian 082-418381.