PERWANI ejen transformasi peringkat komuniti: Rohani

0

BETONG: Kerajaan menyasar 100,000 Perkumpulan Wanita (PERWANI) ditubuh di negara ini dengan setiap kumpulan terdiri daripada 10 hingga 20 ahli, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Menurut beliau, sehingga kini sebanyak 11,024 kumpulan telah ditubuh seluruh negara dengan penyertaan seramai 151,688 ahli kumpulan berdaftar di bawah KPWKM.

“Di Betong sahaja sebanyak 11 kumpulan PERWANI ditubuhkan di sini dengan keanggotaan sebanyak 143 orang. Manakala 989 PERWANI di seluruh negeri ini dengan penyertaan 14,805 ahli,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran Komuniti PERWANI 1Malaysia peringkat PBB zon 5, Bahagian Betong sempena Program Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Rabong, Gensurai, Layar dekat sini semalam.

Jelasnya, PERWANI bertindak sebagai penghubung masyarakat, menjadi mata dan telinga kerajaan atau secara ringkasnya sebagai ejen transformasi peringkat komuniti.

Rohani menjelaskan, selain menjadi ejen transformasi PERWANI berperanan mempromosi kesejahteraan masyarakat dengan mengenal pasti program atau aktiviti memberi faedah kepada masyarakat setempat.

“Komuniti PERWANI 1Malaysia diwujud pada 17 Mac 2013 hasil ilham Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Najib Tun Abdul Razak di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan. Bagi penyertaan PERWANI, pelbagai inisiatif program boleh dijalankan seperti pembangunan kapasiti yang melibatkan latihan dan kemahiran.

“Ini termasuk pembangunan masyarakat melibatkan kerohanian dan kebersihan, pembangunan sosial membabitkan aspek kebajikan dan pembangunan kejiranan melibatkan program keselamatan bersama AMANITA dan PDRM,” katanya.

Tambah Rohani, peningkatan sasaran penubuhan PERWANI meningkat sebanyak 55.28 peratus berbanding awal penubuhannya.

“Jumlah ini menunjukkan kesedaran wanita untuk turut serta sebagai mata, telinga kerajaan dalam memerangi jenayah dan ancaman keselamatan negara semakin meningkat.

“Kumpulan ini bertindak sebagai ejen mempromosi penjagaan kesihatan, kebajikan dan keluarga kemahiran keusahawanan dan tuisyen,” ujarnya.

Katanya lagi, kumpulan wanita warganegara Malaysia antara 10 hingga 20 orang berumur 18 tahun ke atas yang mempunyai minat dan kesungguhan melaksana program kesukarelawanan di kawasan komuniti masing-maisng dialu-alu menyertai PERWANI.

Permohonan boleh dibuat dengan mengisi borang pendaftaran melalui Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak(JWKS) atau laman web www.mywanita.gov.my

“Borang pendaftaran perlu diserah kepada JWKS atau Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN). Manakala surat pelantikan dikeluar agensi ini di negeri masing-masing setelah permohonan lengkap diterima,” katanya.

Rohani turut menggesa agar lebih ramai wanita mengambil bahagian dan bergiat aktif dengan menyertai dan menjadi ahli PERWANI.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri(Dr) Alfred Jabu Numpang, Ketua Pergerakan Wanita PBB Sarawak, Datuk Sri Empiang Jabu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusuf, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukeri,Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) dan Menteri Muda Pembangunan Belia (Luar Bandar), Dr Stephen Rundi, Menteri Muda Kebajikan, Robert Lawson Chuat, ADUN Beting Maro, Razaili Gapor, ADUN Saribas, Mohamad Razi Sitam, ADUN Sadong Jaya, Aidil Lariwoo serta ahli majlis tertinggi PBB.