Dayak kemuka perancangan bersepadu berasaskan enam teras strategik

0

KUCHING: Masyarakat Dayak di Sarawak akan mengemukakan kerangka perancangan bersepadu yang berasaskan enam teras strategik utama kepada Jabatan Perdana Menteri dalam memastikan Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) yang lebih efisien kepada komuniti itu.

Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata, enam teras itu bertujuan memperkukuhkan dan memperkasakan pembangunan inklusif, kesejahteraan rakyat, modal insan, arah tuju pertumbuhan hijau, asas pertumbuhan dan ekonomi khusus membabitkan penglibatan masyarakat Dayak di negeri ini.

“Ini merupakan kali pertama masyarakat Dayak akan mengemukakan kerangka perancangan bersepadu yang berasaskan enam teras strategik utama dalam kita menuju ke arah negara maju menjelang 2020 kelak dengan lebih efisien,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Input RMK-11 anjuran Persatuan Graduan Dayak Sarawak (SDGA) di sebuah hotel di sini semalam.

Malah, Masing memberitahu bahawa kerangka perancangan bersepadu diyakini dapat membantu melonjakkan pembangunan masyarakat Dayak di Sarawak secara menyeluruh dan berkesan.

Menurutnya, pembangunan menyeluruh harus dinikmati masyarakat pelbagai kaum di Malaysia termasuk masyarakat Dayak di Sarawak.

“Kita terlambat terlibat dalam rancangan ini tetapi ia lebih baik kita mulakannya dan bersama dalam merubah masyarakat Dayak menerusi peluang yang ada sekarang ini di bawah RMK-11 nanti,” kata presiden Parti Rakyat Sarawak itu.

Bengkel sehari itu disertai lebih 10 pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili masyarakat Dayak di Sarawak termasuk pemimpin masyarakat.

Tambahnya, wawasan negara maju menjelang 2020 hanya tinggal lima tahun dan langkah itu baik bagi memastikan masyarakat Dayak tidak ketinggalan dalam pembangunan dan kemajuan yang dibawa oleh kerajaan.

Hadir sama pada bengkel itu semalam Presiden SDGA Dr Dusit Jaul, Timbalan Speaker Dewan Negara Senator Datuk Doris Sophia Brodie dan Ahli Dewan Undangan Negeri Batang Ai Malcolm Mussen Lamoh.