IADA peruntuk RM500,000 untuk bantuan peralatan

0

BUTTERWORTH: Kerajaan pusat menerusi Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pulau Pinang memperuntukkan sebanyak RM500,000 untuk bantuan pelbagai peralatan kepada 100 pengusaha Industri Asas Tani (IAT) di negeri itu untuk tahun ini.

Pengarah IADA negeri, Noor Mazirah Teh berkata bantuan itu membabitkan pelbagai peralatan seperti mesin dan set dapur yang bertujuan meningkatkan pendapatan pengusaha mikro IAT.

“Selain bantuan peralatan, IADA Pulau Pinang juga memberikan latihan dan bimbingan kepada pengusaha berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan IAT bagi Parlimen Permatang Pauh dan Bukit Mertajam, di sini semalam.

Penyerahan bantuan peralatan kepada 20 penerima membabitkan kos sebanyak RM60,000 itu disampaikan oleh Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said dan Pengerusi MPPP Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Noor Mazirah berkata pihaknya menerima banyak permohonan dalam kalangan pengusaha IAT tradisional untuk mendapatkan bantuan tersebut.

“IADA masih dalam proses menilai setiap permohonan bagi memastikan mereka yang layak mendapat bantuan untuk memajukan perusahaan yang berdaya maju.

“Kami juga yakin pengusaha IAT boleh memajukan perusahaan yang mereka ceburi dengan harapan bantuan itu dapat meningkatkan pengeluaran mereka,” katanya.

Sementara itu, seorang pengusaha mi sanggul dan mi kuning, Khalid Ramaley, 42, berkata beliau memulakan perusahaan mi sejak enam tahun lepas dan berharap dengan bantuan peralatan itu boleh menambah hasil keluaran syarikatnya.

Katanya beliau berterima kasih kepada semua pihak terutama IADA kerana memberikan bantuan peralatan bagi membolehkan syarikatnya meningkatkan pendapatan dan dalam masa yang sama turut memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Saya menerima bantuan mesin memasak dan memotong mi, sebelum ini saya memotongnya secara manual dan setiap hari hanya mampu hasilkan mi dengan 100 kilogram tepung.

“Saya harap dengan bantuan mesin itu pengeluaran mi syarikat mampu ditingkatkan sehingga 250 kilogram tepung bagi memenuhi permintaan,” katanya. — Bernama