Nanas MD2 terima sambutan menggalakkan di luar negara

0

JOHOR BAHARU: Nanas jenis MD2 yang ditanam di negara ini oleh anak syarikat Kulim (Malaysia) Bhd, menerima sambutan menggalakkan di pasaran luar negara selepas berjaya menembusi pasaran Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iran, Mesir, Arab Saudi, Pakistan, Hong Kong, Singapura dan Korea Selatan.

Terbaharu, nanas MD2 keluaran Malaysia mendapat tempat di Jepun apabila berjaya memasuki pasaran negara tersebut pada akhir bulan lepas selain menerima permintaan dari Oman, Australia dan Rusia.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keluasan penanaman nanas jenis MD2 akan diperluaskan sebanyak 2,250 hektar lagi menjelang akhir tahun ini untuk memenuhi permintaan luar negara yang tinggi.

“Nanas MD2 yang ditanam di Malaysia lebih manis berbanding nanas ditanam di negara lain. Oleh itu, ia mendapat permintaan yang tinggi.

“Pada masa ini, bekalan nanas yang dihantar ke luar negara adalah 60 peratus segar dan 40 peratus dalam tin. Menjelang 2020, Malaysia akan memastikan bekalan nanas yang dipasarkan ke luar negara adalah 80 peratus segar dan 20 peratus dalam tin,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pembungkusan Nenas MD2 Milik Kulim (Malaysia) Bhd di Ulu Tiram dekat sini pada akhir lawatan kerja dua hari beliau ke Johor semalam.

Kulim melalui anak syarikatnya, JTP Trading Sdn Bhd yang bertanggungjawab memasarkan produk pertanian terutamanya buah-buahan di Malaysia dan luar negara memiliki 300 hektar tanaman nenas di ladang Ulu Tiram, Johor Baharu dan di Kluang.

Tahun lepas, Kulim berjaya menghasilkan 1,100 tan metrik nenas di bawah jenama Melita apabila 47 peratus daripadanya untuk eksport dan selebihnya bagi pasaran tempatan. — Bernama