Sarawak miliki keahlian kedua tertinggi dalam Yayasan Guru Malaysia Berhad

0

KUCHING: Sarawak memiliki keahlian kedua tertinggi dalam Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) di seluruh Malaysia dengan 8,102 ahli selepas Perak seramai 9,802 ahli dan Selangor dengan 7,745 ahli di tempat ketiga.

Menurut maklumat daripada Seminar Pra Mesyuarat Agung Tahuan (AGM) YGMB baru-baru ini, keseluruhan ahli YGMB di seluruh negara adalah seramai 83,193 orang.

Negeri ini yang akan mengadakan AGM ke-21 memiliki 7,977 ahli seumur hidup, 15 ahli biasa dan 110 ahli baharu, manakala di Kuching sahaja terdapat 3,500 ahli berdaftar.

Di Sarawak, jawatankuasa mesyuarat penyelarasan YGMB ialah Jabatan Pendidikan Sarawak, Pejabat Pendidikan Daerah Kuching, Majlis Guru Besar Sarawak (MGBS), Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak (PPSMS), Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) dan Kesatuan Guru Sarawak (STU).

Dalam pada itu, seminar tersebut bertujuan sebagai pemberitahuan kepada para peserta berkaitan aktiviti yang dianjurkan YGMB sebelum AGM persatuan itu pada 24 April depan di Hotel Riverside Majestic.

Menyentuh mengenai maklumat terkini kepada ahlinya, YGMB mengajak ahlinya agar sentiasa mengemas kini data, alamat serta maklumat peribadi masing-masing.

Dengan itu, Buletin YGMB yang mengandungi informasi serta pelbagai program dan aktiviti dapat diposkan kepada semua ahli di seluruh negara.

Ini kerana sukar untuk memaklumkan maklumat terkini kepada ahli dan sebagai contoh buletin yang dihasilkan biasanya kembali semula ke Wisma YGMB dalam bilangan yang sungguh banyak kerana tiada penerima.

Dalam pada itu, YGMB turut menyeru ahli yang telah berdaftar agar mengajak lebih ramai guru di negeri ini menyertai yayasan itu kerana sebanyak 16 kelebihan ditawarkan kepada ahlinya seperti pampasan sekiranya berlaku kematian, kemalangan dan bencana.

Terdahulu, kira-kira 200 ahli YGMB Sarawak menghadiri seminar di Hotel Grand Margherita yang dirasmikan oleh Pengerusinya Tan Sri Dato Alimuddin Mohd Dom Sabtu lalu.