UPP lindungi hak rakyat Sarawak

1

SIBU: Sasaran Parti Rakyat Bersatu (UPP) melindungi hak-hak rakyat Sarawak adalah sangat jelas.

Presidennya Dato Sri Wong Soon Koh berkata, beliau akan menghimpunkan kuasa politik masyarakat Cina.

“Mudah-mudahan masyarakat Cina dapat memperolehi kekuatan dan perpaduan dalam kerajaan,” katanya pada Majlis Perhimpunan Tahun Baharu Cina anjuran Jawatankuasa Perkhidmatan UPP Bawang Assan di sini malam kelmarin.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat berkata, langkah politik UPP tidak sentiasa lancar tetapi perlu bergerak mengembalikan kekuatan perpaduan.

“Apa yang berlaku pada masa lalu, kita mesti lupakan dan membuka hati kita seterusnya menetapkan visi masa akan datang.

“Oleh itu, apabila seorang pemimpin masyarakat Cina di Kuching, Temenggung Lu Kim Yong menjemput pemimpin Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan UPP mendamaikan kami di Kuching, saya benar-benar bersetuju.

“Keputusan ini disokong kebanyakan masyarakat kerana mereka semua bersetuju bahawa masyarakat Cina di sini menunggu saat ini dan ia merupakan hasrat Ketua Menteri melihat masyarakat Cina bersatu untuk kepentingan mereka sendiri.

“Malangnya, SUPP tidak menyokongnya. Mereka seolah-olah menyelesaikan masalah dalaman bersama dan tidak memikirkan soal kepentingan masyarakat Cina,” ujarnya.

Jelasnya, sejak penubuhan UPP ramai ahlinya adalah orang awam yang sebelum ini tidak terlibat dalam sebarang parti politik.

Katanya ini menunjukkan UPP tidak boleh diabaikan kerana ia mewakili rakyat seluruh Sarawak.

“UPP juga mempunyai wakil (kaunselor) dalam pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kami mempunyai ahli majlis dan pemimpin masyarakat menyertai kami. Apabila isu undang-undang hudud mendidih di negara ini, masyarakat Cina menjadi lebih bersatu dan hanya boleh dilakukan apabila kita meletakkan perbezaan kita dan berdiri di barisan hadapan dengan bersatu padu,” katanya.

Menteri Kewangan Kedua merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan itu berkata, masyarakat Cina perlu bangkit dan tidak perlu mencetuskan konflik hanya disebabkan beberapa isu-isu yang menjejaskan perpaduan mereka.

Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri merangkap Pengerusi Unit Bumiputera UPP Bawang Assan Andrew Shilling Banggit, Pengerusi UPP Pelawan Kapitan Datuk Janet Lau, Ketua Jawatankuasa Perkhidmatan UPP Bawang Assan Kapitan Ting Check Ming, Setiausaha Sayap Wanita UPP Bawang Assan Kaunselor Wong Hie Ping dan pengerusi jawatankuasa penganjur Evelyn Yii.