Pusat Sehenti Remaja Hamil diperluas ke kawasan berisiko

0

MIRI: Penubuhan Jawatankuasa Pusat Sehenti Remaja Hamil diperluas khasnya ke kawasan mencatat kes remaja hamil yang tinggi.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah berkata, jawatankuasa peringkat negeri ditubuh Oktober tahun lalu bertujuan memberi bantuan kepada ibu remaja hamil sehingga selamat melahir anak.

“Jawatankuasa ditubuh di Kuching dan Samarahan. Ia diperluas ke bahagian lain. Empat kawasan dikenal pasti mencatat peratusan kes remaja hamil ialah Kapit, Betong, Sri Aman dan Bintulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmi Bengkel Pemerkasaan NGO Wanita dan Program Sarawak Home Executive (SHE) di Hotel Mega semalam.

Fatimah berkata, penubuhan jawatankuasa itu dibentang pada mesyuarat Kabinet Negeri kelmarin melihat kepada peningkatan kes kehamilan melibatkan remaja di negeri ini.

Beliau memberitahu, Sarawak berada pada tangga kedua selepas Sabah dalam statistik kes kehamilan tertinggi melibatkan remaja di Malaysia.

Mengulas tentang jawatankuasa, ia melibatkan pelbagai agensi dan jabatan seperti Jabatan Kesihatan, Jabatan Wanita, Jabatan Agama, Jabatan Kebajikan, Jabatan Pendaftaran dan Jabatan Pendidikan.

“Bila kes dibangkit khasnya kes rumit, ahli akan duduk semeja dan berbincang. Semua diselesaikan dalam mesyuarat. Kita juga mahu masalah diselesai dalam masa cepat,” jelas Fatimah.

Antara bantuan yang diberi ialah pendaftaran bayi, proses anak angkat, bantuan bulanan serta kemahiran.

Jawatankuasa turut menganjur program kemahiran dikenali ‘Im In Control’ merupakan bengkel interaktif mengajar remaja khasnya kumpulan berisiko tinggi seperti pelajar tingkatan satu hingga empat mengenai kemahiran situasi berisiko tinggi serta penerangan implikasi seksual berisiko tinggi.

“Kita mahu remaja kita berada pada landasan betul. Semua kita pernah buat kesilapan. Mereka harus diberi peluang perbaiki kesilapan. Mereka berhak mendapat peluang kedua,” jelasnya.

Fatimah menambah, isu remaja hamil harus mendapat perhatian serius kerana memberi implikasi besar terhadap pembangunan institusi keluarga dan sosial.

Hadir sama ialah Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga, Rosey Yunus dan Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, Noriah Ahmad.