STA mahu tiga seksyen Ordinan Buruh dikecuali dari industri balak huluan

0

KUCHING: Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA) mahu tiga seksyen di bawah Ordinan Buruh Sarawak yang melibatkan pelaksanaan gaji dan umur persaraan minimum dikecualikan daripada industri pembalakan huluan.

Pengerusi STA Pemanca Datuk Wong Kie Yik berkata, tiga daripada tujuh seksyen berkenaan iaitu Seksyen 11 Minggu Terjamin, Seksyen 105 Jam Bekerja dan Seksyen 105B Hari Rehat didapati masih tidak praktikal dan tidak dapat dilaksanakan.

“STA meminta Menteri Sumber Manusia untuk mengecualikan tiga seksyen ini daripada industri pembalakan huluan.

“Ia supaya industri ini mempunyai kelonggaran untuk bekerja di bawah keadaan cuaca yang mengizinkan dan dalam suasana kerja selamat. Namun, STA kini masih menunggu jawapan daripada kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) STA 2015 yang dihadiri Setiausaha Kehormatnya Dato Henry Lau di Wisma STA di sini, semalam.

Wong berkata, walaupun gaji minimum sedang disemak semula selepas pelaksanaannya sejak 1 Januari 2013, namun pihak tertentu dalam sektor swasta hanya melaksanakannya pada 1 Januari 2014.

Jelasnya, ini disebabkan oleh pelbagai penangguhan yang diberikan kepada mereka sekali gus bermakna pelaksanaan sepenuhnya gaji minimum hanya setahun sahaja.

“Kebanyakan majikan masih belum memahami sepenuhnya tentang pentadbiran dan kos tinggi menjalankan perniagaan yang timbul daripada pelaksanaan gaji minimum.

“STA berasa semakan semula pada peringkat ini adalah terlalu awal dan oleh yang demikian memohon agar kadar gaji minimum sekarang dikekalkan selama dua tahun lagi,” tegasnya.

Sementara itu, eksport produk balak dan perkayuan STA bagi tahun 2014 mencatatkan jumlah keseluruhan RM7.2 bilion yang menyaksikan tiga penyumbang utama iaitu papan lapis dengan 53.86 peratus diikuti balak dengan 27.99 peratus dan papan gergaji 7.75 peratus sementara selebihnya produk kayu lain.

Menurut kenyataan akhbar yang diedarkan kepada media semalam, dari segi destinasi eksport Jepun merupakan negara utama dengan 38.45 peratus, diikuti India (18.91 peratus), Taiwan (10.51 peratus) dan Asia (9.92 peratus).

Selain itu, Korea (7.13 peratus), Timur Tengah (7.11 peratus), Amerika Syarikat (0.65 peratus), lain-lain negara (0.56 peratus) dan Eropah (0.14 peratus).