Tiada proses Islamkan Sabrina: Fatimah

1

Oleh Steve Annuar//

 

PENYELESAIAN: Fatimah, Marcus (kanan) dan ayah Sabrina Ngumbang Achu (kiri) ketika pertemuan di SMK Lutong semalam.

MIRI: Tidak berlaku sebarang proses mengislamkan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Lutong, Sabrina Ngumbang dan dia masih penganut agama Kristian, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah.

Mengulas mengenai isu membabitkan pemberian baju kurung dan telekung kepada pelajar ini sehingga menjadi viral media sosial, Fatimah menjelaskan, Sabrina masih bawah umur untuk membuat keputusan.

“Dia masih bawah umur untuk sebarang keputusan walaupun menyatakan minat untuk memeluk Islam kepada gurunya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Sabrina, keluarganya, pihak gereja, guru dan Pengetua SMK Lutong, Marcus Hugo, petang semalam.

Jelas Fatimah, Sabrina belum memeluk Islam kerana tidak berlaku sebarang proses pengislaman malah proses itu belum sampai ke Jabatan Agama Islam.

“Isu ini tamat di rumah dan ada bantahan daripada pihak gereja. Proses tidak diterus dan Sabrina masih penganut agama Kristian yang sah,” jelas beliau.

Isu pengislaman Sabrina timbul apabila pada 12 Mac lalu, Sabrina ditemani salah seorang kawan menemui cikgu Nik Seri Ayu Nik Ibrahim dan menyatakan minat memeluk agama Islam.

Cikgu Nik meminta pandangan cikgu Suti Kamila Md Zain berhubung perkara itu dan terus menemui pelajar tersebut untuk bertanya mengenai niat Sabrina.

Fatimah berkata, kesalahan kedua-dua cikgu berkenaan ialah tidak merujuk kepada ibu bapa Sabrina sebagai penjaga sah.

“Walaupun dia sendiri menyatakan minat memeluk Islam, tetapi masih bawah 18 tahun, ibu bapa sebagai penjaga sah berhak untuk dirujuk,” tegas Fatimah.

Rentetan daripada peristiwa itu, ibu bapa Sabrina melaporkan kes tersebut kepada polis pada petang kelmarin.

Setelah semua pihak terlibat bersemuka dan berbincang, Fatimah berkata, kes itu harus dijadikan iktibar kepada guru terutamanya mengenai hak pelajar bawah umur.

Beliau menambah, setakat ini tidak wujud senarai pelajar atau jumlah pelajar yang disasar untuk diislamkan seperti yang diuar-uar di laman sosial berhubung kes Sabrina.

Fatimah meminta pengguna Internet supaya jangan mudah menuding jari atau membuat tuduhan melulu terhadap mana-mana pihak tanpa mengetahui hujung pangkal isu dikongsi di laman sosial.

Beliau mahu pengguna Internet bersikap bertanggungjawab terhadap isu yang ingin dikongsi di laman sosial khasnya isu sensitif melibat agama, bangsa dan budaya kerana khuatir menimbulkan permusuhan antara kaum.