Jangan bantutkan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo, kata Dennis

0

MIRI: Penduduk di sepanjang pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo diharap memberi kerjasama terbaik dengan kerajaan berhubung projek yang bakal dilaksana.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau Jok berkata, ia mengelak kelewatan atau penangguhan beberapa perkara berkaitan pembinaan lebuh itu berdasarkan pengalaman pembinaan jalan raya Bakong-Lapok sedikit masa dulu.

“Kita tidak mahu atas sebab remeh pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo mengalami kelewatan sehingga menimbul banyak masalah,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.

Jelasnya, antara masalah bakal timbul ialah tuntutan atau pampasan tidak masuk akal mengenai tanah, rumah atau kebun.

Dennis menasihati penduduk terlibat secara langsung dengan pembinaan jalan mega itu supaya memberi kerjasama penuh serta tidak melaku tuntutan tidak munasabah.

“Sebaliknya, kita cuba fikir impak  keseluruhan apabila jalan raya itu siap nanti khususnya ke atas ekonomi,” jelas beliau lagi.

Bagi Dennis, lebuh raya itu  bakal memberi menfaat positif dari aspek ekonomi lebih-lebih lagi penduduk tinggal di kawasan pedalaman.

“Apabila lebuh raya siap nanti, semua penduduk akan lebih senang atau mudah membuat urusan jual beli hasil tani atau produk keluaran masing-masing,” ujar Dennis.

Beliau menyifatkan pembinaan lebuh raya itu merupakan kunci ekonomi terhadap rakyat secara keseluruhannya.

“Fikirkan tentang gambaran dalam skala besar,  bukannya perkara bakal melambatkan kebaikan,” katanya.