Friday, August 7

Klinik Usahawan CGC bantu peniaga PKS berdaya maju

0

KUCHING: Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) akan menganjurkan Klinik Usahawan CGC membantu usahawan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera di Dewan Bank Negara Malaysia, Jalan Satok di sini pada 1 April depan.

Klinik ini sebahagian daripada usaha keseluruhan CGC bagi mewujud kesedaran lebih tinggi dalam kemudahan pembiayaan yang ditawar selain memboleh PKS berdaya maju di Sarawak bagi mendapatkan akses pembiayaan kewangan.

Ia juga bertujuan mewujud peluang kepada usahawan Bumiputera berjumpa pegawai CGC bagi mendapatkan maklumat lanjut serta khidmat nasihat termasuk memupuk hubungan perniagaan baik antara kedua-dua pihak.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Mohd Zamree Mohd Ishak berkata, inisiatif ini sejajar dengan wawasan menjadi sebuah institusi kewangan berkesan khusus bagi menggalak pertumbuhan serta pembangunan PKS yang berdaya saing dan dinamik di Malaysia.

“Sebagai perantara khusus pembangunan PKS, kami memberi tumpuan meningkat jangkauan PKS menerusi usaha sama dengan dewan perniagaan tempatan seperti Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) dalam menyampai  segmen PKS dalam perkhidmatan khidmat nasihat kewangan dan lain-lain,” katanya.

Peserta Klinik Usahawan CGC akan mendapat peluang untuk mengetahui lebih lanjut tentang kemudahan pembiayaan CGC dan juga mengenai prosedur penilaian pinjamannya.

Justeru, mereka berminat  boleh menghubungi Ketua Cawangan CGC Kuching Mohamed Suffri dan Timbalannya Stellarose Nelson di talian 082-424200 atau layari http://www.cgc.com.my/event-calendar/ untuk maklumat lanjut dan pendaftaran.

Dalam perkembangan lain, pada 2014, CGC menyedia kira-kira RM25 juta pembiayaan kepada 124 PKS di Sarawak terutamanya dalam sektor hartanah, pembinaan dan borong melalui dua cawangannya di Kuching dan Miri.

Pada tahun 2015, CGC menyasar untuk menyedia kira-kira RM70 juta pembiayaan PKS, peningkatan 180% berbanding dengan tahun sebelumnya.

Setakat ini, CGC telah melulus lebih daripada 427,800 pinjaman, dengan jaminan RM56 bilion.

Pada 2015, sasaran CGC untuk menyedia RM3 bilion pembiayaan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 7,800 PKS seluruh negara.