Normah rai 20 ahli Kelab Kanak-Kanak yang lahir pada bulan Mac

0

KUCHING: Seramai 20 ahli Kelab Kanak-Kanak Pusat Pakar Perubatan Normah (NMSC) yang lahir pada bulan Mac diraikan dalam Acara Mini dan Perjumpaan Hari Jadi di sini semalam.

Menurut Eksekutif Kanan Pemasaran NMSC Gabriel Teng, sejak dirasmikan pada 28 Januari lepas ia merupakan kali kedua pihaknya meraikan kanak-kanak yang dilahirkan di pusat berkenaan.

“Kelab Kanak-Kanak Normah dimulakan sebagai sebuah platform pengembaraan bersama meneroka keriangan zaman kanak-kanak dan keibubapaan dengan pelbagai program dan aktiviti sepanjang tahun.

“Ia juga sebagai cara untuk merapatkan jurang di antara ibu bapa dan anak,” katanya kepada pemberita semalam.

Kemasukan keahlian, jelas beliau, hanya layak kepada bayi yang dilahirkan di NMSC atau adik-beradik yang pernah berjumpa untuk konsultasi perubatan di pusat berkenaan secara percuma.

Borang keahlian boleh didapati di Kaunter Perhubungan Pesakit atau Jabatan Pembangunan Perniagaan pusat berkenaan.

Keahlian Kelab Kanak-Kanak Normah layak sehingga mereka berumur 12 tahun dan sekiranya kad keahlian hilang caj RM10 akan dikenakan untuk yuran gantian kad yang baharu.

Setiap pendaftaran di kelab itu akan menerima kad keahlian yang didatangkan bersama pek keahlian yang dimuatkan dengan buletin berita maklumat aktiviti dan acara yang akan dilangsungkan.

Selain itu, faedah yang dikongsi daripada menjadi ahli ialah diskaun 10 peratus untuk caj bilik dengan pendaftaran pembayaran sendiri, 10 peratus lagi untuk perkhidmatan pergigian awam, lima peratus untuk bil pesakit luar dan lima peratus untuk produk terpilih di Normah Care Shop.

Antara program dan aktiviti lain yang dijalankan ialah ceramah kesihatan kanak-kanak dan ibu bapa, program kraf, parti hari jadi, permainan kanak-kanak dan lawatan sambil belajar.