Pesta ‘Lan Bersauk’ Sibu tarik ramai pengunjung

0

Oleh Borhaniza Ali Basah//

 

KREATIF: Para peserta menunjukkan layang-layang masing-masing pada pertandingan layang-layang tercantik.

PERTANDINGAN ‘bersauk’ sempena Pesta ‘Lan Bersauk’ Sibu anjuran Kelab Layang-Layang Intan Enterprise mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk Sibu.

Pesta diadakan di dataran Kompleks Islam Sibu pada Sabtu dan Ahad (28 dan 29 Mac) lalu berjaya menarik kira-kira 70 orang peserta dalam empat kategori yang dipertandingkan.

Orang ramai yang tertarik dengan keunikan pesta ini mula mengunjungi tapak pertandingan seawal jam 9 pagi bagi menyaksikan pelbagai acara yang diadakan.

Pesta ‘Lan Bersauk’ ini merupakan julung kali dianjurkan oleh Kelab Layang-Layang Intan bagi memupuk minat masyarakat tempatan untuk mengekalkan permainan tradisional tersebut.

Antara kategori yang dipertandingkan ialah kategori ‘bersauk’ (putus tali), rebut layang-layang, ‘bersauk’ beramai-ramai dan layang-layang tercantik.

Sementara itu, muncul johan pertandingan ‘bersauk’ (putus tali) ialah Fuad Ahmad yang membawa pulang wang tunai RM1,000, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing disandang oleh Mohd Isa dan Sulaiman Puji dengan membawa pulang wang tunai RM500 dan RM250.

Bagi kategori layang-layang tercantik, tempat pertama kedua dan ketiga masing-masing disandang oleh Zaini Mohamad, Osmandi Affendi dan Mohamad Jahan.

Manakala bagi kategori rebut layang-layang dan kategori bebas ‘bersauk’ (putus tali), masing-masing dimenangi oleh Nazrul Yasin dan Hariz.

MAHIR: Para peserta tidak melepaskan peluang mempamerkan kemahiran masing-masing dalam acara ‘bersauk’ beramai-ramai.

MERIAH: Antara penduduk tempatan yang mengunjungi pesta tersebut baru-baru ini.

MANA PALING CANTIK: Para juri sedang menilai layang-layang hasil kreativiti para peserta.