Anggota Kadet Polis ibarat duta kecil PDRM

0

BERDISIPLIN: Bidol melakukan pemeriksaan perbarisan anggota kadet pada majlis tersebut.

JULAU: Anggota Kadet Polis di sekolah boleh dianggap sebagai duta kecil Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekolah-sekolah dalam membentuk disiplin supaya menjadi contoh kepada pelajar lain.

Ketua Polis Daerah (KPD) Julau DSP Bidol Noyeng berkata, Kadet Polis di peringkat sekolah mampu membentuk disiplin dalam diri pelajar jika penglibatan mereka dibuat secara fokus dan serius.

“Objektif penganjuran program telah digariskan dengan jelas dan dilengkapkan dengan pengisian program yang begitu bernilai tambah dan mempunyai nilai intelek berguna bagi golongan pelajar.

“Program sebegini pasti membantu meningkatkan disiplin diri dalam kalangan pelajar dan diharapkan pelajar terlibat akan menjadi model kepada pelajar lain untuk mengamalkan budaya mematuhi undang-undang.

“Di samping dapat mempelajari beberapa perkara dalam bidang kepolisan, program sebegini juga diharap akan mampu menyemai minat generasi muda kepada kerjaya kepolisan selepas tamat persekolahan kelak,” kata Bidol.

Beliau berkata demikian ketika membaca perutusan Ketua Polis Negara sempena sambutan Perbarisan Hari Kadet Ke-45  Daerah Julau dan Pakan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Julau, baru-baru ini.

Seramai enam pegawai kanan kadet dan 90 anggota kadet dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Julau, SMK Pakan dan SMK Julau No.2 menyertai perbarisan itu.

Bidol berkata, Kadet Polis juga merupakan strategi untuk membentuk generasi pelapis yang akan mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara.

Menurut beliau, penglibatan pelajar dalam akademik perlu diseimbangkan dengan penglibatan aktif dalam kokurikulum bagi memastikan pelajar yang dibentuk mantap dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.

“Peserta yang terlibat akan dapat mendekatkan masyarakat dengan pihak PDRM. Secara tidak langsung ia juga akan dapat membantu membendung penularan gejala negatif dalam kalangan pelajar,” katanya.

Bidol turut menasihatkan agar setiap anggota Kadet Polis supaya sentiasa mengutamakan tahap disiplin, mematuhi peraturan-peraturan sekolah dan undang-undang negara .

“Jauhkan diri daripada sebarang bentuk jenayah, dadah dan sebarang perbuatan yang mempunyai implikasi sosial yang negatif,” ujarnya.

Pada majlis itu, Bidol turut menyampaikan Sijil Penghargaan kepada seramai 10 guru dan anggota kadet yang aktif dan cemerlang dalam akitviti Kadet Polis di sekolah masing-masing.

Turut hadir Pengetua SMK Julau Christopher Kelebit.