GST: Pengusaha kedai jahit dalam dilema

0

KUCHING: Pelaksanaan Cukai Barangan dan Per-khidmatan (GST) menjadi dilema kepada pengusaha kedai jahit ekoran kenaikan harga barangan khasnya perkakas jahitan.

Menurut seorang peng-usaha kedai jahit Benang Emas Tailor, Maspaun Sapa’ee, 36, ekoran pelaksanaan GST, harga perkakas jahitan seperti benang, zip, butang dan sebagainya naik mendadak.

“Kalau dulu benang sekotak hanya RM5 sahaja tetapi selepas GST dilaksanakan ia naik sebanyak 80 sen. Disebabkan kenaikan harga perkakas ini saya tidak tahu sama ada mahu menaikkan harga upah atau mengekalkannya,” katanya ketika ditemui di kedainya di Muara Tuang, Kota Samarahan dekat sini semalam.

Malah, Maspaun memberitahu ramai pelanggan tetapnya datang untuk bertanyakan harga upah baharu selepas pelaksanaan cukai itu.

“Buat masa ini, saya tidak menaikkan harga upah kerana mahu menjaga hati pelanggan walaupun ia membebankan saya sen-diri,” tambahnya.

Beliau yang telah meng-usahakan kedai itu sejak 2011 dan mempunyai dua pekerja berkata, pelaksanaan GST amat membebankan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

“Ia amat membebankan kerana harga barang naik begitu mendadak disebabkan pelaksanaan GST ini tambahan pula ada peniaga mengambil kesempatan pasti lebih membebankan,” keluhnya.

Kadar upah jahit di kedai Maspuan hanya di antara RM75 hingga ke RM80 bagi baju Melayu, dan RM45 bagi baju kurung.

Sementara itu, seorang pengusaha kedai jahit, YB Tailor, Yadi Bujang ber-kata, beliau juga dalam dile-ma untuk menaikkan harga upah menjahit kerana mahu menjaga hati pelanggan.

“Saya masih dalam dilema dengan kenaikan harga perkakas jahit secara mendadak ini. Kalau naikkan harga upah pelanggan pasti merungut.

“Tetapi untuk tahun ini, insya-Allah harga upah tidak naik walaupun harga perkakas jahit naik selepas pelaksanaan GST ini,” katanya.

Namun, Yadi memberitahu beliau akan menaikkan harga upah menjahit pada tahun hadapan ekoran kenaikan harga perkakas jahit selepas pelaksanaan GST 1 April lalu.

“Kalau baju Melayu biasa dan kurung moden hanya RM70 kalau ia mengikut fesyen baharu dan kehendak pelanggan harganya berlainan,” ujarnya.