Masih ramai keliru kesan pelaksanaan GST

0

Nancy kesal individu kurang faham mereka-reka cerita kesan negatif pelaksanaannya

Oleh Rusnan Mustafa //

SADONG JAYA: Masih ramai yang keliru akan kesan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada rakyat dan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, beliau kesal dengan tindakan individu yang kurang faham akan pelaksanaan GST dengan mereka-reka cerita tentang kesan negatif daripada pelaksanaan cukai itu.

“Ramai yang masih keliru akan kesan pelaksanaan GST ini terhadap kehidupan harian mereka, apa lagi dengan mereka yang menentang GST pula, inilah peluang mereka menyebarkan laporan kurang tepat.

“Malah, bagi yang tidak matang pula menggunakan emosi dan cerita-cerita yang direka, tetapi tidak ada usaha untuk mendapatkan ilmu untuk memahami GST,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Gagasan Wanita Bersepadu anjuran Pergerakan Wanita PBB Sadong Jaya di Sekolah Kebangsaan Jemukan di sini semalam.

Ahli Parlimen Batang Sadong itu berkata, banyak contoh di negara lain yang membuktikan bahawa GST memberi manfaat.

“Usah pergi jauh, di negara jiran kita, Singapura sahaja, lebih banyak lebihan wang dan dana boleh digunakan untuk pembangunan negara itu.

“Bayangkan sebuah negara yang tidak mempunyai sumber semula jadi yang banyak seperti negara kita mampu menjadi sebuah negara yang cukup maju di dunia,” katanya.

Menurut Nancy, Singapura memperkenalkan GST pada kadar tiga peratus ketika awal pelaksanaannya pada 1994.

Jelasnya, atas fakta itu, ramai yang mempertikaikan jumlah peratusan tiga peratus itu dengan enam peratus di Malaysia.

“Akan tetapi, berbeza dengan Malaysia, Singapura pula mengenakan GST terhadap semua barang dan perkhidmatan termasuk barang keperluan.

“Ini tidak berlaku di Malaysia kerana kerajaan mengambil kira kepentingan rakyat dengan tidak mengenakan GST ke atas makanan asas,” tambahnya.

Selain itu, beliau memberitahu bahawa pembelian dan penyewaan rumah kediaman juga tidak dikenakan GST termasuk jual beli tanah pertanian, pendidikan, pengangkutan awam serta perkhidmatan kesihatan.

Justeru, beliau kesal dengan tindakan segelintir peniaga  yang mengambil kesempatan mengenakan GST terhadap produk sifar cukai, menaikkan harga barang untuk mendapatkan margin keuntungan yang lebih banyak.

“Oleh itu, kita harus sentiasa memperkasakan diri dengan ilmu mengenai pelaksanaan cukai baharu GST daripada sumber yang sahih, jangan bertindak tanpa berfikir terutama di media sosial, dengan berkongsi ‘posting’ yang dimuat turun tanpa usul periksa kesahihannya,” ujarnya.