Sunday, May 22

Pembinaan jalan empat lorong, jambatan bernilai RM140 akan bermula

1

KUCHING: Kerja pembinaan jalan empat lorong dan sebuah jambatan bernilai RM140 juta dari bulatan Emart Matang ke Jalan Stapok akan bermula dalam masa terdekat dengan majlis perasmian dilakukan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Demikian kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof kepada pemberita semasa Majlis Makan Malam Bersama Bekas Pegawai Rejimen Renjer di The Sarawak Club di sini, malam kelmarin.

“Kami telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan (MoF) untuk lantikan kontraktor dan kewangan juga telah diluluskan.

“Selewat-lewatnya bulan Mei kerja pembinaan dilaksanakan dan kami mengharapkan dalam penghujung atau pertengahan April kami dapat melancarkan projek ini iaitu kerja permulaan yang akan dirasmikan oleh Ketua Menteri,” katanya.

Ketika ditanya mengenai tempoh siap bagi projek berkenaan, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya memaklumkan bahawa ia bakal mengambil masa selama 36 bulan berikutan kerumitan melibatkan pembinaan jambatan.

Dedahnya juga, jambatan tersebut bakal memiliki empat lorong.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai perkembangan perumahan kekal untuk rumah mangsa banjir di negara ini, beliau memaklumkan bahawa lima buah di Manek Urai, Kelantan telah siap dan kunci akan diserahkan kepada penghuni pada minggu depan.

“Yang lain-lain sedang giat dibina dengan keseluruhan lebih 300 buah, cuma sebahagian lagi terdapat permasalahan disebabkan isu tanah khususnya di Kelantan (tiada tanah atau hak milik meragukan).

“Di peringkat persekutuan, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri telah bersetuju sekiranya isu tanah berkenaan masih tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan negeri maka kerajaan persekutuan akan menyediakan tanah untuk diagihkan kepada mangsa supaya projek pembinaan dapat disegerakan memandangkan bulan Ramadan tidak lama lagi.

“Sasaran kita adalah untuk menyiapkan rumah ini sebelum bulan puasa ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai kejadian helikopter terhempas di Semenyih, Selangor Fadillah berkata beliau sungguh sedih dengan tragedi tersebut.

“Saya merasa sangat sedih kerana mereka yang terlibat dalam kemalangan ini melibatkan pemimpin yang memiliki banyak tanggungjawab dan kita amat bersedih serta mendoakan supaya mereka ditempatkan bersama orang beriman manakala keluarga mereka tabah menghadapi dugaan ini.

“Saya secara peribadi mendoakan dan amat bersedih sebab mereka juga amat rapat dengan saya,” tambahnya.

Terdahulu, majlis makan malam tahunan tersebut menyaksikan perjumpaan kira-kira 30 bekas renjer yang pernah berkhidmat di negeri ini dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Selain itu, majlis pertemuan semula kali ketiga selepas Kuala Lumpur dan Sabah itu diisi dengan aktiviti melawat Pasar Serikin dan Pasar Minggu Medan Niaga Satok.