Pemodenan kawasan memberi manfaat kepada masyarakat

0

DARO: Sambutan Hari Daerah Daro Ke-42 tahun ini memperlihatkan rakyat di sini merasai pemodenan diwujudkan yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datu Len Talif Salleh berkata sesungguhnya masyarakat di Daro berasa amat bertuah kerana berpeluang mengecapi pembangunan dalam pelbagai aspek.

“Sejak diwartakan sebagai daerah pada April 1973, pelbagai nikmat pembangunan dikecapi untuk kemajuan rakyat seiring dengan daerah-daerah lain di negeri ini.

“Tahun ini, kita menyambut hari bersejarah bagi mengingati perubahan dan pembangunan dikecapi daerah Daro selama 42 tahun,” katanya pada Sambutan Hari Daerah Daro Ke-42 di Dewan Terbuka Tadika Kie Ming, di sini malam kelmarin.

Menurutnya, sebagai contoh kemajuan dan pembangunan di negeri ini selama 52 tahun merdeka menyaksikan pelbagai perubahan dari segi infrastruktur, sosial, ekonomi mahupun politik yang memberi impak besar kepada seluruh masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belawai itu berkata, bagi daerah Daro perubahan pembangunan dapat dilihat dengan terbinanya banyak bangunan baharu seperti sekolah, dewan, jalan raya termasuk kemudahan elektrik dan air.

“Lantaran pertumbuhan memberangsangkan itu, kemudahan jalan raya juga dirancakkan bagi membolehkan perhubungan pantas dilakukan dengan baik bagi melalui daerah ke daerah mahupun ke bahagian lain.

“Pembangunan dinikmati merangkumi penyediaan pusat perubatan, institut pendidikan, pusat-pusat komersil, perbankan, hotel dan sebagainya bagi keperluan penduduk justeru membentuk masyarakat berdaya maju bagi mencapai Wawasan 2020,” ujarnya.

Len berkata pembangunan hari ini menjadikan daerah Daro melangkah seiring dengan daerah-daerah lain di negeri ini dan berharap dapat dipergiatkan bagi mencapai sasarannya.

Katanya perkara tersebut dapat dibandingkan dengan keadaan Daro suatu masa dahulu dan sekarang.

“Kalau dahulu Daro hanya dapat dihubungi dengan jalan sungai sahaja, sekarang kita dapat membuat pilihan sama ada menggunakan jalan darat atau sungai untuk ke Sibu, Mukah, Belawai dan sebagainya.

“Ini jelas menunjukkan Daro seiring dengan kematangan kedewasaannya iaitu 42 tahun menjadi daerah,” katanya.

Turut hadir ADUN Daro Murni Suhaili, wakil Residen Bahagian Mukah Seroji Ludin, Pegawai Daerah Daro merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Abang Mohamed Abang Turkey, wakil Pegawai Kewangan Persekutuan Sarawak Pui Lih Shan, Setiausaha Majlis Daerah Matu Daro Wan Mohamad Wan Badehi dan Pemanca Bujang Razeli.