Pemuda SUPP Simanggang adakan pengambilan ahli baharu

0

SRI AMAN: Pergerakan Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Simanggang mengadakan aktiviti pengambilan ahli baharu di Rumah Bandi, Sebangkoi di sini semalam.

Jurucakapnya berkata, ia bertujuan memperkukuh kekuatan cawangan parti terbabit di samping menyemak senarai nama pengundi terkini di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang bagi Hulu Undop.

Menurutnya, kehadiran ahli SUPP Simanggang kawasan itu secara tidak langsung menyedarkan penduduk betapa pentingnya mendaftar sebagai pengundi untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Kami juga ingin menyedarkan pengundi di sini agar bersiap sedia menghadapi PRN memandangkan undi mereka bakal menentukan masa depan pembangunan DUN Simanggang,” katanya.

Sementara itu, Pergerakan Pemuda SUPP Simanggang menggesa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Undop sentiasa mengemas kini data keluarga di rumah panjang masing-masing.

“Mereka perlu mengemas kini data keluarga di rumah panjang masing-masing bagi memudahkan kerajaan merangka pelbagai program untuk mempertingkatkan taraf hidup mereka.

“Adalah menjadi harapan kita agar belia muda di kawasan Hulu Undop dapat memainkan peranan sebagai pengundi bagi membantu merancakkan proses pembangunan di sini seperti bekalan elektrik, air bersih, jalan raya dan sebagainya,” kata beliau.

Aktiviti mendaftar ahli-ahli baharu dan semakan pengundi rumah panjang tersebut diketuai Setiausaha Pergerakan Pemuda SUPP Simanggang Tuai Rumah Igai Janting sambil dibantu Pergerakan Wanita parti berkenaan.