Pameran kerjaya perlu pihak berkepentingan

0

Penganjur perlu pastikan pihak berkepentingan  mampu sebar maklumat berkaitan, kata Len Talif

Oleh Jessica Jawing //

KUCHING: Institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk daripada sektor swasta disyor mengenal pasti pihak berkepentingan dalam usaha menganjurkan pameran kerjaya mereka.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datu Len Talif Salleh berkata, ini kerana penganjur perlu memastikan pihak berkepentingan mereka mampu menyebarkan maklumat yang berkaitan.

“Penganjur perlu mengenal pasti siapa pihak berkepen-tingan untuk menyebarkan maklumat tentang peluang di institusi pengajian tinggi, kewujudan peluang pekerjaan dan pekerjaan di pasaran semasa.

“Semua kita memainkan peranan sama ada anda sebagai ibu bapa, guru, pensyarah, ketua masyarakat atau pelajar sendiri… setiap kita adalah pihak berkepen-tingan,” katanya.

Sehubungan itu ujar beliau, amat penting berhubung dengan pihak berkepentingan berkenaan dalam usaha kerajaan negeri mencapai sasaran mengisi kekosongan pekerjaan yang wujud iaitu 1.3 juta menjelang 2030 di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sector-Focused Career Fair (SFCF) anjuran Swinburne University of Technology Kampus Sarawak dengan kerjasama Talent Corporation Malaysia Berhad di Swinburne di sini, semalam.

Tambah Menteri Muda Alam Sekitar itu, daripada 1.3 juta pekerjaan di SCORE itu sekurang-kurangnya 30 peratus atau 600,000 pekerjaan adalah untuk pekerja mahir dan separa mahir.

“Malahan menurut kajian kita, bagi mencapai matlamat mengisi kekosongan itu kita perlu melahirkan 40,000 graduan dalam kemahiran teknikal dan akademik setiap tahun.

“Namun, kita (kerajaan) tidak mempunyai kapasiti itu melainkan kerjasama daripada sektor swasta dan institusi pengajian tinggi bagi mencapai matlamat,” katanya.

Mengulas mengenai SFCF anjuran Swinburne, ujar Len Talif ia berlainan dengan pameran kerjaya lain kerana ia bukan sahaja untuk mengenal pasti kerjaya berbeza yang diperlukan di SCORE tetapi menyediakan peluang hubungan produktif kepada institusi dan universiti.

Sementara itu Timbalan Naib Canselor merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Swinburne Kampus Sarawak Anthony Calahan dalam ucapannya berkata, sebanyak 30 syarikat dari seluruh negeri menyertai pameran, yang menumpukan kepada bidang perniagaan, kejuruteraan dan multimedia.

Katanya Swinburne komited menyediakan peluang dan maklumat kepada anak muda di Sarawak bukan sahaja dari segi teknologi tetapi penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Beberapa tahun lepas,  kira-kira 95 peratus graduan kami mendapat majikan selepas tamat pengajian mereka, ini menggambarkan penekanan kami dalam menyediakan pendidikan berkualiti dan komitmen kami dalam menghubungkan industri dengan pengajaran.

“Kami menjalin kerjasama erat dengan syarikat sama ada dalam atau luar negara sebagai platform kepada pelajar melalui latihan industri dan ini akan mendedahkan dunia pekerjaan sebenar kepada mereka,” kata Anthony.