Skim Bazar Ramadan 2015 dilaksana tidak lama lagi

0

SIDANG MEDIA: Narawi (kiri) dan Stanley (dua kanan) bersama tetamu lain memerhatikan kertas cadangan berhubung Skim Bazar Ramadan 2015 yang ditunjukkan oleh Naroden (duduk) pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia, Kuching, semalam.

KUCHING: Peniaga dan penjaja kecil di seluruh negeri ini kini boleh bersiap sedia untuk menambah pendapatan keluarga menerusi pelaksanaan Skim Bazar Ramadan 2015 tidak lama lagi.

Malah, suri rumah juga dipelawa menyertai skim itu sepanjang bulan Ramadan yang akan menjelma tidak lama lagi.

Menjelaskan perkara itu, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais berkata, pelaksanaan skim itu bertujuan memberi bantuan pinjaman modal kerja jangka pendek, khusus kepada peniaga kecil di Sarawak yang berminat menjalankan perniagaan sepanjang bulan Ramadan.

“Kerajaan sentiasa prihatin dan mengambil berat nasib golongan peniaga kecil dan penjaja di seluruh negeri khususnya, justeru dengan pelaksanaan skim itu nanti, ia dapat membantu golongan itu menjana pendapatan sebagai persiapan menjelang Hari Raya.

“Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM1.9 juta sebagai modal pinjaman untuk diagihkan kepada peniaga serta penjaja kecil yang berhasrat untuk berniaga pada bulan puasa akan datang,” katanya.

Menurutnya, skim itu merupakan hasrat murni kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan kerjasama Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Bumiputera Sarawak (PPPKBS).

Beliau berkata demikian pada sidang media Skim Bazar Ramadan 2015 di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Bagaimanapun jelas Naroden, setiap pemohon (penjaja, peniaga atau individu) mestilah mendaftar nama atau syarikat dengan PPPKBS sebagai prasyarat untuk melayakkan diri menerima pinjaman di bawah skim itu.

Pemohon yang layak menerima pembiayaan pinjaman bermula dari RM500 hingga RM3,000 (maksimum) yang akan dikendalikan oleh Bank Rakyat mengikut jenis makanan atau juadah yang dijual, katanya.

“Bank Rakyat adalah bank pengantara kepada pinjaman bersifat tiada faedah ini dan pemohon yang layak mendaftar adalah berusia dalam lingkungan 18 hingga 65 tahun.

“Keutamaan kami adalah ahli PPPKBS yang beragama Islam, namun ia juga terbuka kepada individu Islam lain yang berminat tetapi belum mendaftar dengan PPPKBS, tetapi mereka harus mendaftar nama dengan PPPKBS terlebih dahulu,” jelasnya.

Jelas Naroden lagi, skim anjuran bagi tahun kedua itu juga merangkumi insurans sebagai perlindungan sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini sepanjang tempoh berniaga dan peminjam boleh membayar balik pinjaman tersebut secara ansuran selepas enam bulan selepas Ramadan.

Mengulas mengenai peminjam yang gagal melunaskan pinjaman pada tahun lalu, katanya, pihak penganjur skim ingin menasihati mereka (peminjam) agar menjelaskan baki hutang dengan segera bagi melayakkan mereka memohon pinjaman semula pada tahun ini.

“Pada tahun lalu, seramai 881 pemohon telah diluluskan pinjaman mereka dan daripada jumlah itu, lebih 50 peratus peminjam telah melunaskan hutang mereka.

“Bagi peminjam lain yang belum melunaskan baki hutang adalah dinasihatkan untuk berbuat demikian agar anda dapat memohon semula pinjaman di bawah skim ini untuk tahun ini,” katanya.

Bagi yang berminat, borang permohonan kini boleh didapati di mana-mana cawangan PPPKBS berdekatan anda atau di ibu pejabat PPPKBS yang terletak di King Centre atau di pejabat KPDNKK atau menghubungi Yang Dipertua PPPKBS Narawi Ibrahim di talian 017-2208108.

Borang permohonan yang telah lengkap diisi hendaklah dihantar semula kepada PPPKBS atau KPDNKK selewat-lewatnya 30 April (Khamis) ini.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Yang Dipertua PPPKBS Narawi Ibrahim, Pengarah KPDNKK Sarawak Stanley Tan dan Penolong Yang Dipertua PPPKBS Sahminan Sirat.