Kempen ‘Go Bald’ jual koleksi angpau

0

MIRI: Bagi menyokong kempen membotak kepala atau ‘Go Bald’ kali ketujuh, Pertubuhan Kanser Kanak-Kanak Sarawak (SCCS) turut menyelit projek jualan koleksi angpau kepada masyarakat setempat.

Jurucakap projek Shirley Chia berkata, ia bertujuan membantu menambah dana bagi kempen terbabit dan kebajikan SCCS.

“Aktiviti ini akan dijalankan melalui jerayawara yang kami lakukan setiap Sabtu dan Ahad bermula Sabtu (11 April) ini hingga 17 Mei depan.

“Program ini berlangsung di pekarangan Bintang Megamall Miri New Wing di sini bermula jam 1 petang hingga 9 malam pada Sabtu dan 10 pagi hingga 9 malam pada hari Ahad,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Hotel Somerset di sini petang semalam.

Menurut Chia, koleksi angpau tersebut sebahagiannya adalah koleksi peribadi yang diperolehi dari negara luar seperti Singapura.

“Tahun lepas, kami berjaya mengutip RM14,000 dengan 14,370 koleksi angpau yang dijual melalui projek sama.

“Justeru, tahun ini kami menyasarkan lebih daripada jumlah tersebut,” ujarnya.

Pihaknya berharap orang awam memberi sokongan terhadap projek berkenaan selain menyokong menyertai kempen membotak kepala.

Sementara itu, Curtin University Sarawak Malaysia (Curtin Sarawak) turut menyokong kempen ‘Go Bald’ dengan mengadakan ‘Go Bald Satellite Shave’ yang akan diadakan pada 24 April ini.

Menurut Pengerusi SCCS Cawangan Miri Jocelyn Hee, ‘Satellite Shave’ adalah acara mini yang diadakan melalui sokongan daripada pihak sekolah, syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai pihak di sini dalam membantu meningkatkan kesedaran masyarakat setempat tentang penyakit kanser yang dihadapi kanak-kanak.

Acara berkenaan yang dilangsung di pekarangan foyer Harry Perkins Lecture Theatre bermula jam 9.30 pagi hingga 11.30 pagi.

“Tahun lepas, pihak Curtin Sarawak berjaya mengumpul lebih RM9,000 melalui ‘Satellite Shave’ dalam inisiatif membantu kempen ‘Go Bald 2015’,” jelasnya.

Kempen ‘Go Bald 2015’ secara rasminya akan berlangsung di Miri pada 17 Mei di Bintang Megamall Miri.

Selain Miri, kempen sama turut akan diadakan sekitar Sarawak bermula di Kuching iaitu di CityOne Shopping Mall pada 3 Mei, seterusnya di Sibu (Delta Mall) pada 10 Mei dan Bintulu (Parkcity Mall) pada 24 Mei.

Justeru, masyarakat setempat dialu-alukan memberi semangat kepada kanak-kanak yang menghidap penyakit kanser.

Orang awam yang ingin mendapatkan kad kutipan derma boleh terus ke Hotel Somerset di tingkat satu bermula jam 9 pagi hingga 5 petang setiap Isnin hingga Jumaat atau di kaunter hotel terbabit bermula jam 5 petang setiap hari.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Jocelyn di talian 019-8841161 atau Veronica (012-8383949).

Untuk keterangan lebih lanjut berhubung kempen atau penjualan angpau berkenaan, orang juga boleh melayari laman sosial Facebook di bawah nama www.facebook.com/GoBaid atau www.gobald.my.